MIAMI GARDENS, AMERIKA SYARIKAT, 23 MAC – Veteran Perancis, Gael Monfils terpaksa berundur semasa perlawanan pusingan pertamanya di Terbuka Miami, memberi tamparan hebat kepada kepulangannya daripada kecederaan yang panjang.
Pemain berusia 36 tahun itu meninggalkan gelanggang, menahan kesakitan dalam perlawanannya menentang rakan senegaranya, Ugo Humbert ketika kedudukan 3-3 dalam set pertama.
Di Indian Wells, Monfils tewas kepada Jordan Thompson dalam straight set pada pusingan pertama, pada kejohanan pertamanya dalam masa tujuh bulan. Tahun lepas Monfils menjalani pembedahan tumit dan terlepas Terbuka Perancis serta keseluruhan musim perlawanan.
Kemunculannya semula selepas tiga bulan di Montreal, menyaksikan dia mengalami kecederaan kaki kemudiannya mengumumkan penamatan musimnya pada bulan Oktober.
Monfils memberitahu AFP bahawa walaupun kecederaan itu menyakitkan, dia perlu menunggu imbasan X sebelum mengetahui lebih lanjut.
“Kami akan menjalani pemeriksaan lanjut dan lihat apa yang berlaku,” katanya.
Tetapi dalam satu lagi tamparan selepas perjalanan panjangnya kembali ke kejohanan, Monfils berkata dia mungkin perlu mempertimbangkan masa depannya walaupun dia berhasrat untuk meneruskan perlawanannya.
Monfils adalah pemain Perancis kedua yang berundur semalam dengan Arthur Rinderknech berhenti daripada perlawanan dengan pemain Jepun, Taro Daniel pada set pertama selepas menerima rawatan perubatan. – AFP
