LOS ANGELES – Kehadiran siri terbaru dalam francais filem Transformers hanya dipandang ringan di kalangan para penonton di mana ia jelas menunjukkan sambutan yang kurang memberangsangkan.
Transformers: The Last Knight, siri kelima dalam francais filem Transformers itu diarahkan oleh Michael Bay di mana ia telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$69 juta ketika ditayangkan di 4,069 pawagam sekaligus mendominasi carta Box Office.
Ternyata prestasi yang ditonjolkan oleh siri filem terbitan Paramount dan Hasbro jauh lebih rendah berbanding sekuel yang terdahulu dan usaha promosi juga wajar dipertingkatkan bagi mengembalikan keuntungan terhadap kos pembikinan setinggi AS$217 juta yang telah dilaburkan.
Namun di peringkat antarabangsa, Transformers jelas masih memiliki pengikutnya yang kuat apabila ia berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$196.2 juta dan tayangan di China sendiri juga telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$123.4 juta.
Bagaimanapun kehadiran filem terbaru dari Transformers ini berjaya menjadi modal keuntungan bagi Paramount setelah mengalami kerugian yang teruk berikutan daripada hasil kutipan yang hambar dari tayangan filem Baywatch dan Ghost in the Shell.





Pada awalnya, siri kelima dalam francais filem Transformers ini dikatakan sebagai filem terakhir dalam francais filem itu namun Paramount juga telah merencanakan dua buah filem yang berkaitan dengan francais ini yang turut membariskan pelakon popular seperti Hailee Steinfeld.
Mengikut rekod sejarah, hasil tayangan daripada empat filem terdahulu telah mengumpulkan kutipan setinggi AS$1.3 bilion bagi pasaran domestik dan lebih dari AS$3.5 bilion bagi pasaran antarabangsa.
Siri terbaru ini lebih menumpukan kisah mengenai ikatan perhubungan di antara Bumblebee dan Cade Yeager untuk berusaha bagi menyelamatkan dunia.
Filem itu membariskan lakonan hebat dari Mark Wahlberg, Josh Duhamel, Anthony Hopkins dn Laura Haddock.
“Pada dasarnya, filem ini lebih menumpukan kepada pasaran di peringkat antarabangsa. Hasil kutipan di peringkat antarabangsa jelas merupakan aspek yang kami titik beratkan,” jelas Presiden Pengedar Paramount, Megan Colligan.
Manakala juara minggu lalu, Cars 3 keluaran Disney dan Pixar pula harus akur untuk berada di tangga kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$25.2 juta.
Secara keseluruhan filem animasi komedi yang menerapkan unsur kekeluargaan ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$99.8 juta setelah ditayangkan selama dua minggu.
Adiwira wanita, Wonder Woman pula menduduki tangga ketiga setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$25.1 juta.
Kehebatan Patty Jenkins selaku pengarah wanita yang mengarahkan filem hebat ini jelas sangat membanggakan dan dapat memberikan inspirasi kepada wanita lain terutama apabila ia telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$318.4 juta secara keseluruhan hasil dari tayangan selama empat minggu di pawagam.
Sementara filem 47 Meters Down yang menggandingkan Mandy Moore dan Claire Hilt sebagai dua orang adik beradik yang menghadapi cabaran yang cukup hebat sewaktu bercuti di Mexico pula menduduki tangga keempat setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$7.4 juta.
Secara keseluruhan filem yang menerapkan elemen thriller itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$24.3 juta setelah ditayangkan selama dua minggu.
All Eyez on Me yang mengisahkan mengenai sejarah kehidupan Tupac Shakur lakonan Demetrius Shipp Jr. pula menduduki tangga kelima dalam carta dengan kutipan sebanyak AS$5.9 juta.
Selama dua minggu ditayangkan di pawagam, filem biografi ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$38.6 juta.
Prestasi yang ditonjolkan oleh Transformers: The Last Knight jauh ketinggalan berbanding beberapa buah filem terdahulu yang turut ditayangkan pada musim panas seperti Jurassic World dan Finding Dory yang menonjolkan prestasi yang cukup cemerlang.
Antara beberapa buah filem baru yang ditayangkan pada minggu ini adalah This is Focus keluaran Focus Features dan The Big Sick keluaran Lionsgate bergabung dengan Amazon Studios.
Tumpuan para penonton se-tentunya akan menuju kepada beberapa buah filem hebat seperti Despicable Me 3, Baby Driver dan The House yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Carta Box Office | |||
1
2 3 4 5 6 7 8 9 10 |
(N)
(1) (2) (5) (3) (4) (6) (7) (8) (9) |
Transformers: The Last Knight
Cars 3 Wonder Woman 47 Meters Down All Eyez on Me The Mummy Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales Rough Night Captain Underpants: The First Epic Movie Guardians of the Galaxy Vol. 2 |
AS$69 juta
AS$25.2 juta AS$25.1 juta A$7.4 juta AS$5.9 juta AS$5.8 juta AS$5.2 juta AS$4.7 juta AS$4.2 juta AS$3 juta |
(N) – Indikasi filem baru dalam carta |