PARIS, 27 MEI – Jumlah kos bagi spesies invasif iaitu penyakit bawaan dari tumbuh-tumbuhan dan serangga di seluruh dunia mencecah purata kira-kira AS$35 bilion setahun selama beberapa dekad, kata penyelidik kelmarin.
Sejak 1960, kemusnahan berpunca daripada spesies invasif yang berkembang ke wilayah baharu telah menyebabkan masyarakat menanggung kos lebih daripada AS$2.2 trilion, 17 kali lebih tinggi daripada jumlah sebelumnya, lapor mereka dalam jurnal Nature Ecology & Evolution.
Penularan spesies invasif yang semakin pantas daripada nyamuk kepada babi hutan dan tumbuhan memusnahkan pertanian, menularkan penyakit dan mendorong kepupusan spesies yang pesat.
Pengiraan awal berdasarkan data yang tidak lengkap telah didapati tidak menepati jangkaan sebenar.
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat, pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh seorang saintis di Universiti South Bohemia di Republik Czech, Ismael Soto, mengumpul data mengenai 162 spesies invasif yang kosnya telah didokumenkan di beberapa negara.
Mereka kemudiannya memodelkan impak terhadap ekonomi bagi 78 buah negara lain seperti Bangladesh dan Costa Rica, yang tidak mempunyai data tersedia sebelum ini.
“Kami menjangkakan kesannya terhadap ekonomi, di mana jumlahnya adalah amat besar,” kata Soto kepada AFP.
Disebabkan jumlah perdagangan dan perjalanan yang meningkat, puluhan ribu spesies haiwan dan tumbuhan telah berkembang, kadangkala secara literal, jauh dari tempat asalnya.
Eropah adalah benua yang paling terjejas oleh fenomena tersebut, diikuti oleh Amerika Utara dan Asia. – AFP


