Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Seorang individu telah dikenakan kompaun $300 kerana menyalahi Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1), Kesalahan Bab 12 (1) (d) semasa operasi pemantauan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait, baru-baru ini.
Kesalahan Bab 12 (1) (d) itu ialah menggugurkan, menumpahkan atau menghamburkan sebarang habuk, pasir, tanah liat, tanah gambur, batu kelikir, rumput, jerambi, tatal, habuk kayu, abu, kotoran kebun, kotoran bangsal, kotoran perniagaan, baja, sampah atau apa jua barang dan bahan lain di sebarang tempat awam, sama ada dari sesebuah kenderaan yang bergerak atau tidak atau dalam apa jua cara lain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait, individu terbabit telah menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika gagal menjelaskan pembayaran, individu berkenaan boleh didakwa ke mahkamah.
Unit Penguatkuasaan itu akan sentiasa memberi peringatan kepada mana-mana individu ataupun badan-badan korporat agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini bagi sama-sama menjaga kebersihan kawasan dan alam sekitar dengan membuang bahan-bahan buangan di kawasan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.
Sebarang aduan bolehlah menghubungi Unit Penguatkuasaan di talian 3334335 sambungan 1404 atau 1153.
