Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Seorang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Perantaraan, semalam, setelah didapati bersalah menggunakan wang palsu di sebuah stesen minyak.
Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Zulkifli bin Haji Japar, 45, selepas Timbalan Pendakwa Raya Emily Goh telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Zulkifli dan abang lelaki berkenaan didakwa pada masa yang sama, yang mana abangnya mengaku bersalah atas kesalahan itu, manakala Zulkifli menafikan sebarang penglibatan.
Mahkamah berpuas hati bahawa Zulkifli memang terlibat dalam insiden pada 17 Mei 2018 itu, di mana defendan diberikan wang $100 dan empat keping wang $10 oleh saudara kandungnya untuk membeli minyak.
Di stesen minyak, defendan membayar minyak bernilai $10 menggunakan wang $100. Sebaik menerima wang itu, pekerja stesen minyak menyedari bahawa wang itu memiliki warna dan tekstur yang menimbulkan kesangsiannya. Selepas berbincang dengan penyelianya, pekerja itu meminta tertuduh untuk membayar dengan wang lain.
Tertuduh menyerahkan wang $10 namun wang itu turut menimbulkan curiga pekerja tersebut.
Ketika pekerja itu menghubungi polis, tertuduh dan abangnya terus memandu keluar.