BANGKOK, 22 DIS – Seorang warga Thailand dijatuhi hukuman mati dan dua warga Jerman dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan kejam seorang broker hartanah Jerman berhampiran bandar peranginan Pattaya, lapor media Thai.
Mahkamah Wilayah Pattaya menjatuhkan hukuman mati kepada Shahrukh Karim Uddin, seorang warga Thai berketurunan Pakistan, Jumaat lalu atas tuduhan membunuh Peter Ralter Mack, 62, pada Julai 2023, lapor akhbar Bangkok Post.
Mayat Mack dipotong-potong ditemui di dalam peti sejuk yang dilitupi lapisan pita tebal di sebuah kediaman di pinggir luar Pattaya di wilayah Chonburi di selatan Thailand.
Manakala Warga Jerman, Olaf Thorsten Brinkmann dan Petra Christl Grundgreif mengaku melakukan jenayah itu semasa perbicaraan dan akibatnya hukuman mereka dikurangkan daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup.
Ketiga-tiga defendan didapati bersalah membunuh secara terancang dan menyembunyikan mayat.
Mack menghilangkan diri selepas memberitahu isterinya dia bertemu dengan broker barang lain, walaupun keluarganya kemudian percaya dia telah dipancing dan diculik.
Mahkamah mendengar bukti bahawa kumpulan itu merancang untuk membuang mayat Mack di laut dan memindahkan 3.35 juta baht (AS$98,000) daripada akaunnya. – AFP