Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kena kompaun kendali khidmat telekomunikasi tanpa lesen

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengeluarkan dua kompaun berjumlah $1,400 kepada pemilik perniagaan kerana mengendalikan perkhidmatan telekomunikasi tanpa lesen Pembekal Perkhidmatan untuk Industri Telekomunikasi (SeTi) yang sah dan menyewakan walkie-talkie tanpa Lesen Ejen Telekomunikasi (DTL) yang sah.

    Kesalahan sedemikian boleh dihukum di bawah seksyen 33(1) dan 34(2) Perintah Telekomunikasi, 2001, dan mana-mana orang yang didapati bersalah atas pelanggaran tersebut boleh dikenakan denda kompaun sehingga $1,000 bagi setiap kesalahan.

    Jika sabit kesalahan, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 33(1) ialah denda sehingga $100,000, penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, manakala itu, penalti bagi kesalahan di bawah Seksyen 34(2) ialah denda sehingga $10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

    AITI dalam kenyataan yang dikeluarkan mengingatkan orang ramai bahawa sistem atau perkhidmatan yang tidak berlesen boleh menyebabkan gangguan kepada infrastruktur kritikal dan perkhidmatan penting, yang boleh mengganggu operasi harian agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan tempatan, institusi pendidikan dan perniagaan yang bergantung kepada telekomunikasi.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan kelulusan AITI sebelum memasang sebarang sistem telekomunikasi, menyediakan sebarang perkhidmatan telekomunikasi atau mengendalikan sebarang peralatan telekomunikasi atau radio-komunikasi.

    Ahli perniagaan dan orang awam digalakkan untuk mendapatkan lesen yang berkaitan untuk penubuhan, pemasangan, penyelenggaraan, penyediaan atau pengendalian mana-mana sistem atau perkhidmatan telekomunikasi atau radio-komunikasi melalui portal perkhidmatan dalam talian AITI, https://online.aiti.gov.bn.

    Orang ramai juga boleh membantu AITI dalam usaha membendung sebarang aktiviti tidak berlesen dengan menghantar e-mel kepada info@aiti.gov.bn.

    Perkhidmatan menyewakan walkie-talkie memerlukan lesen yang sah. – Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda