Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kena penjara akibat bawa topeng gas

    BANGKOK, 30 Mei – Seorang wartawan Britain berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun di Thailand selepas dia diberkas kerana membawa topeng gas dan plat bagi ves kalis peluru melalui lapangan terbang utama Bangkok dalam perjalanannya untuk membuat liputan pertempuran di bandar Mosul, Iraq, pihak polis mengesahkan hari ini.

    Tony Cheng, yang bekerja bagi penyiar kerajaan China, CCTV, ditahan di lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok malam semalam di bawah undang-undang yang dikritik teruk oleh kumpulan media.

    Topeng gas dan ves balistik yang kerap digunakan oleh para pemberita di seluruh dunia dikelaskan sebagai senjata perang di Thailand dan perlukan lesen.

    Melanggar undang-undang 1987 itu boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun. “Seorang warga Britain diberkas dan didakwa secara haram memiliki senjata perang semalam di lapangan terbang,” anggota polis lapangan terbang Suvarnbuhuni Somchart Maneerat memberitahu AFP hari ini.

    Cheng, yang berkahwin dengan warga Thailand, bersama rakan sekerjanya warga Jerman Florian Witulski dalam perjalanan mereka untuk membuat laporan dari bandar Iraq, Mosul tempat pasukan tentera memerangi kumpulan IS.

    Mac lalu kedua-dua mereka membuat laporan dari Mosul.

    Witulski ditahan sementara bersama-sama Cheng tetapi kemudian dibebaskan dan tidak didakwa.

    Lewat semalam Cheng telah menghantar sekeping gambar ke Facebook yang memaparkan sel tahanan lapangan terbang tempat dia ditahan semalaman.

    Dia menulis, “plat dan topeng gas adalah bagi kegunaan di Mosul, yang mana di situ ISIS direkodkan menggunakan gas.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda