Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kena penjara atas kesalahan culik, cabul

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seorang anggota polis berusia 51 tahun dijatuhi hukuman lima tahun enam bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini, atas kesalahan menculik dan melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang perempuan di bawah umur.

    Hukuman diputuskan Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar ke atas Gawing Ak Ayob yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut selepas didakwa di mahkamah pada 24 Julai tahun lalu. Hakim Pengiran Masni dalam menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mendapati tindakan tertuduh adalah ‘kejam dan tidak boleh dimaafkan’.

    Sebagai anggota polis, tertuduh telah menyalahgunakan kepercayaannya dengan mengambil mangsa tanpa persetujuan daripada ibu bapanya, katanya.

    Kejadian berlaku apabila pada petang 30 Disember 2016, mangsa yang berusia sembilan tahun yang tinggal bersama ibu bapanya di kawasan perumahan yang sama dengan tertuduh, telah keluar untuk mencari rakannya. Selepas mendapati rakannya tidak ada di rumah, mangsa pergi ke kedai berhampiran untuk membeli makanan.

    Tertuduh yang ketika itu berada di dalam keretanya, ternampak mangsa yang baru sahaja keluar dari kedai. Tertuduh kemudian meminta mangsa mengikutinya untuk menghantar sepasang kasut.

    Mangsa yang mengenali tertuduh sebagai rakan keluarganya bersetuju untuk mengikutinya. Dalam perjalanan, tertuduh melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ terhadap mangsa dan membawanya ke kawasan terpencil di hutan.

    Tertuduh menyuruh mangsa keluar dari keretanya tetapi mangsa enggan dan mula menangis. Tertuduh kemudian memandu ke tempat lain dan sekali lagi melakukan cabul ke atas mangsa. Melihat mangsa terus menangis, tertuduh terus menghantar mangsa pulang ke rumahnya dan memberinya wang dan memberitahunya untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian yang berlaku.

    Mangsa sebaik sampai di rumah, telah memberitahu kejadian itu kepada ibu bapanya yang terus membuat laporan polis.

    Tertuduh dalam pembelaannya tidak menafikan yang mangsa berada di dalam keretanya tetapi mendakwa yang mangsa masuk ke dalam keretanya secara suka rela dan enggan keluar apabila diarahkan.

    Tertuduh juga mendakwa yang mangsa telah menarik tangannya untuk melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya.

    Selesai perbicaraan, Hakim Pengiran Masni yang tidak mempercayai kata-kata tertuduh telah mendapati tertuduh bersalah atas tuduhan tersebut.

    Pihak pendakwaan dalam hujahan telah mengemukakan kepada mahkamah bahawa tertuduh telah memusnahkan mangsa yang tidak bersalah, dan terus merumitkan lagi keadaan dengan menuntut hak perbicaraan yang mana mangsa terpaksa melalui semula trauma psikologi di mahkamah.

    Dakwaan terhadap tertuduh dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo dan Nurul Fitri binti Kiprawi manakala tertuduh diwakili Peguamnya, Yu Chin Chai dari Firma Guaman Messrs Yu and Chiew.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda