Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Seorang kakitangan kerajaan yang mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai berjumlah $6,058.21 telah dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Pengiran Hidayatullah bin Pengiran Haji Kula, 39, juga diarahkan oleh Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin untuk membayar ganti rugi sebanyak $3,379.49 (jumlah baki wang yang diambil) atau berdepan tambahan sebulan penjara.
Tertuduh yang ditugaskan di Mes Sarjan dan Mes Pegawai, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diamanahkan untuk membuat kerja pentadbiran, buku kira-kira dan mengumpul wang dari anggota dan pegawai tentera.
Selepas mengumpul wang itu, tertuduh sepatutnya menyimpannya ke dalam Bank Pusat namun telah menggunakan wang itu, untuk keperluan peribadinya.
Perbuatan tertuduh terbongkar apabila pegawai yang digantinya di Mes Pegawai kembali bertugas, yang mana dia mendapati tertuduh tidak menyimpan wang tersebut ke dalam Bank Pusat.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari September 2014 hingga Februari 2015.
Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Attiyah binti PD Haji Abas memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh hanya membayar balik $2,678.72 dari jumlah keseluruhan yang diambilnya.