Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenaikan Harga Barangan, Tanggungjawab Siapa?

    Oleh Nurdiyanah R.

    Turun naik harga barangan adalah norma pasaran. Namun apabila berlakunya situasi kenaikan harga barangan asasi melebihi daripada paras ‘normal’ atau berlaku peningkatan harga secara mendadak, pastinya perkara ini suatu yang sukar diterima oleh kebanyakan pengguna.

    Saat itulah kegelisahan akan membelenggu orang ramai apabila perkara berkenaan dilihat semakin berleluasa dari semasa ke semasa.

    Persoalannya di sini, siapakah yang perlu bertanggungjawab? Sejauh manakah peranan para peniaga? Apakah peranan pihak kerajaan? Bagaimana pula halnya dengan golongan pengguna? Sudah semestinya dalam situasi sebegini adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam meniti dunia berjual beli, bak kata pepatah Melayu, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.

    Apakah mandat pihak kerajaan dalam memelihara kebajikan pengguna?

    Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP), Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi merupakan sebuah agensi kerajaan yang dimandatkan bagi melaksanakan dan menguatkuasakan tiga perundangan ke arah mempromosi kecekapan pasaran dan memelihara kebajikan pengguna iaitu Perintah Persaingan 2015, Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011 dan Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Perintah Persaingan 2015 melarang amalan-amalan anti-persaingan dalam pasaran seperti perjanjian anti-persaingan. Perjanjian anti-persaingan adalah apabila dua atau lebih orang peniaga bersepakat untuk menetapkan harga atau membahagikan pasaran dengan objektif bagi mengurangkan persaingan dalam pasaran. Amalan anti-persaingan akan mengganggu persekitaran perniagaan kerana peniaga yang berusaha untuk bersaing secara sihat akan terjejas akibat amalan anti-persaingan peniaga lain.

    Akibat amalan anti-persaingan juga akan merugikan pengguna kerana barangan yang ditawarkan tidak pada harga yang kompetitif.

    Manakala, Perintah Perlindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011 pula merangkumi larangan terhadap amalan-amalan perniagaan yang tidak wajar iaitu mengelirukan pengguna, membuat kenyataan palsu dan mengambil kesempatan ke atas pengguna.

    Contohnya, menyatakan maklumat jualan yang tidak jelas sehingga menyebabkan golongan pengguna terpedaya.

    Mengenai Akta Kawalan Harga pula, adalah penting untuk diketahui bahawa tidak semua barangan di pasaran dikawal harga di bawah akta tersebut. Hanya 10 jenis barangan keperluan asasi sahaja ditetapkan harga maksimum sepanjang masa.

    Setakat ini, JPES bertanggungjawab menetapkan harga maksimum bagi dua jenis barangan asasi iaitu susu tepung anak damit dan minyak masak.

    Penetapan harga maksimum bagi lapan jenis barangan asasi yang lain adalah ditetapkan oleh pengawal selia masing-masing; antaranya beras dan gula ditentukan oleh Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; dan bahan tenaga seperti motor gasoline (Premium 97, Super 92 dan Regular 88), diesel, kerosin dan Liquefied Petroleum Gas (LPG) pula ditentukan oleh Kementerian Tenaga. Manakala, penguatkuasaan dilaksanakan oleh JPES berdasarkan penetapan harga maksimum daripada pihak pengawal selia sektor berkenaan.

    Fikir dan bandingkan terlebih dahulu sebelum berbelanja, bersamalah kita sebagai pengguna memupuk budaya bijak berbelanja dalam kehidupan sehari-hari.
    Fikir dan bandingkan terlebih dahulu sebelum berbelanja, bersamalah kita sebagai pengguna memupuk budaya bijak berbelanja dalam kehidupan sehari-hari.
    JPHEP, JPES, Kementerian Kewangan dan Ekonomi merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memelihara kesejahteraan pengguna dan kecekapan pasaran. – Gambar serahan JPHEP, JPES

    Penetapan harga barangan asasi secara sementara semasa musim perayaan

    Selain daripada mandat di bawah Akta Kawalan Harga, JPHEP dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) juga melaksanakan inisiatif bagi menetapkan harga maksimum secara bermusim ke atas beberapa kategori makanan terpilih, yang lazimnya dilaksanakan selama lima minggu pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal.

    Penetapan harga maksimum ini dihasrat untuk mengekalkan harga berpatutan ke atas kategori makanan terpilih yang sering digunakan dalam penyediaan makanan pada tempoh musim perayaan, berpandukan maklumat Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Tujuh jenis barangan ditetapkan harga maksimum secara bermusim setiap tahun iaitu ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, susu (pekat, cair dan krim) serta tepung.

    Kenaikan harga, pelbagai faktor

    Apabila mengimbas kembali situasi negara kita semasa berdepan tempoh krisis pandemik COVID-19 yang tidak diduga pada tahun lepas, jumlah keseluruhan aduan yang telah diterima oleh JPHEP adalah sebanyak 364 aduan, yang mana 75 peratus daripadanya adalah mengenai harga barangan.

    Lebih daripada 40 peratus aduan melibatkan kenaikan harga sungkup muka dan pembersih tangan.

    Selebihnya adalah aduan mengenai waranti dan perkhidmatan yang tidak memuaskan merangkumi sektor seperti makanan dan minuman, runcit dan telekomunikasi.

    Bagi menangani aduan mengenai harga semasa tempoh krisis, JPHEP telah menjalankan tanggungjawab secara proaktif dengan memantau harga bagi barangan yang dianggap kritikal untuk kesihatan dan keselamatan pengguna seperti sungkup muka dan pembersih tangan.

    JPHEP mengutip maklumat mengenai kadar keuntungan, kos dan trend harga pasaran bagi sungkup muka dan pembersih tangan daripada pembekal dan peniaga.

    Maklumat komprehensif dari lebih 100 buah kedai di seluruh negara telah membantu JPHEP untuk membuat analisa dan penilaian yang bersesuaian.

    Hasil analisa pemantauan harga mendapati bahawa kenaikan harga sungkup muka dan pembersih tangan adalah didorong oleh kos import yang tinggi; dan permintaan yang meningkat secara mendadak.

    Manakala, faktor seperti sumber bekalan yang berbeza adalah di antara punca bagi harga yang berlainan di pasaran. Para peniaga dipohonkan untuk memberi penjelasan dan justifikasi jika terdapat harga pasaran yang tinggi daripada tahap yang lazimnya.

    Harga pasaran yang diperoleh juga disiarkan kepada orang ramai menerusi aplikasi mudah alih PenggunaBijak, media sosial dan laman sesawang rasmi jabatan, bagi mempromosi prinsip ketelusan harga dan persaingan, serta membantu orang ramai dalam membuat informed-purchase decision dengan membandingkan harga bagi mendapatkan nilai yang terbaik. Kaedah pemantauan harga ini merupakan suatu pendekatan yang seimbang dalam usaha bagi bukan sahaja memelihara kepentingan orang ramai, tetapi juga memeduli pihak peniaga dengan mengambil kira kos perniagaan mereka tanpa menjejaskan persaingan dalam pasaran.

    Kaedah pemantauan harga yang sama juga digunapakai sebagai pendekatan berterusan dalam menangani kebimbangan orang ramai mengenai kenaikan harga komoditi makanan asasi sejak akhir tahun lalu.

    JPHEP telah memantau harga bagi beberapa makanan asasi yang mengalami kenaikan harga pada hujung tahun 2020.

    Barangan makanan asasi yang dikenalpasti adalah ayam bulat, sayap ayam, telur ayam (gred B), daging lembu, daging kambing dan beberapa produk pertanian termasuk bawang bombay, bawang merah, bawang putih, bawang besar, halia dan cili dari lebih 100 buah kedai di semua daerah.

    Di antara hasil analisa pemantauan harga mendapati bahawa kenaikan harga ayam adalah didorong oleh beberapa faktor termasuk permintaan domestik yang meningkat disebabkan oleh sekatan perjalanan dan juga bertepatan dengan musim cuti persekolahan dan hujung tahun di mana biasanya banyak majlis-majlis kekeluargaan diadakan; pengguna dan peniaga restoran membeli dalam jumlah yang banyak sebagai stok mengambil kira kekhuatiran bekalan yang berkurangan, yang mendorong kepada kenaikan harga daripada peniaga berskala kecil di kawasan pedalaman.

    Namun, harga dan bekalan ayam bulat kini beransur pulih dengan permintaan (demand) kembali normal dan bekalan (supply) berada pada tahap yang stabil.

    Harga pasaran komoditi makanan berkenaan disiarkan dan dikemaskini tiga kali seminggu sejak hujung bulan Disember 2020. Bermula 18 Januari 2021, penyiaran dan pengemaskinian dilaksanakan setiap sekali seminggu.

    Secara ringkasnya, dapat dirumuskan bahawa kadar permintaan dan bekalan di pasaran yang didorong oleh perubahan keadaan rangkaian bekalan di peringkat global dan tingkah laku pengguna termasuk peniaga restoran umumnya, memainkan peranan yang penting dalam menentukan kos dan harga barangan di pasaran.

    Harga hak siapa?

    Harga barangan sememangnya hak peniaga kerana ianya bergantung kepada strategi masing-masing untuk mengira kadar keuntungan dengan mengambil kira kos perniagaan yang berbeza-beza. Namun apa yang perlu kita fahami adalah, dalam usaha bagi membangunkan pasaran yang berdaya saing dan mengelakkan gangguan pasaran, pihak JPES tidak masuk campur dalam harga barangan di pasaran, kecuali barangan yang dikuatkuasa di bawah Akta Kawalan Harga, ataupun barangan yang diumumkan akan dikenakan penetapan harga maksimum secara sementara (bermusim).

    Sementara para peniaga dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dalam mempromosi iklim perniagaan yang berdaya saing dan menggalakkan amalan perniagaan yang beretika selaras dengan keperluan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dan Perintah Persaingan, para pengguna juga mempunyai peranan penting dalam membangunkan pasaran yang sihat. Ini boleh dilaksanakan dengan tindakan semudah seperti memastikan pembelian dibuat secara bertanggungjawab. Pembelian panik dan amalan menyimpan stok barangan asasi pada jumlah yang berlebihan daripada keperluan sebagai respons terhadap khabar angin yang tidak berasas tidak akan membantu memulihkan keadaan pasaran. Ini hanya akan memburukkan lagi keadaan isu bekalan.

    Dengan adanya senarai harga pasaran bagi barangan makanan tertentu dari lebih 100 buah kedai dari semua daerah yang disediakan oleh pihak JPES secara mingguan, para pengguna boleh menggunakan maklumat berkenaan untuk membuat pilihan pembelian secara bijak.

    Amalkan gaya hidup yang berhemat dengan menyemai sifat berjimat cermat dan tidak membazir, iaitu buatlah pembelian mengikut keperluan dan kemampuan diri sendiri, keluarga, dan bukan semata-mata didasari oleh kemahuan dan keingingan. Dengan kata lain, tanyalah pada diri sendiri sebelum membuat pembelian, sama ada pembelian berkenaan adalah suatu keperluan atau kehendak semata-mata. Jadilah seorang pengguna yang bijak.

    Adu pada saluran yang betul

    Bagi sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel di aduan pengguna@jpes.gov.bn.

    Aduan yang diterima akan dinilai terlebih dahulu bagi memastikan ianya adalah di dalam skop perundangan di bawah bidangkuasa JPHEP.

    Bagi membantu JPHEP dalam menangani aduan yang diterima, aduan perlu disertakan dengan keterangan seperti resit pembelian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda