NEW DELHI, 1 MEI – Pihak berkuasa India semalam merampas AS$725 juta daripada syarikat telefon pintar China Xiaomi, menuduhnya melanggar undang-undang tukaran asing negara dengan membuat pengiriman haram ke luar negara, kata pegawai.
Pejabat Pengarah Penguatkuasaan, agensi siasatan kewangan India, berkata di Twitter bahawa ia telah merampas jumlah tersebut daripada unit tempatan Xiaomi. Tindakan diambil selepas siasatan dilancarkan agensi persekutuan pada Februari berhubung isu pengiriman wang haram, lapor media tempatan.
Agensi berkata pembuat telefon pintar itu telah memindah AS$725 juta kepada ‘tiga entiti luar negara’ di bawah nama bayaran royalti, menurut kenyataan yang dipetik Press Trust of India. Awal bulan ini, agensi juga menyoal naib presiden global Xiaomi, Manu Kumar Jain, di pejabat serantau syarikat di selatan bandar Bangaluru, lapor PTI.
Syarikat telefon pintar itu berkata ia mematuhi undang-undang tempatan dan ‘bayaran royalti dan penyatanya’ adalah ‘sah dan benar.’ Ia berkata ia komited untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk menjelaskan sebarang salah faham.
“Bayaran royalti yang dikeluarkan Xiaomi India adalah untuk teknologi pelesenan dan aplikasi yang digunakan dalam produk versi India. Ia adalah pengaturan komersial yang sah di sisi undang-undang untuk Xiaomi India dalam membuat bayaran royalti berkenaan,” menurut kenyataan.
Dua tahun lalu, India mengharamkan lebih 100 aplikasi milik China ketika ketegangan di antara kedua-dua negara meningkat disebabkan pertempuran sempadan. Pada Jun 2020, tentera India dan China bertempur di sepanjang kawasan dipertikaikan di sempadan mereka, membunuh 20 tentera India dan empat askar China. – AP