Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Timbalan Pegawai Balai Aliman bin Haji Salleh dari Cawangan Operasi ‘F’ dinaikkan pangkat kepada Pegawai Balai dalam Majlis Penyampaian Tanda Pangkat yang berlangsung di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Landasan Lama Berakas, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, hadir bagi menyempurnakan penyampaian tanda pangkat ialah Pemangku Penolong Pengarah Operasi, Awang Abdul Hadi Zulfadli bin Haji Yahya.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Perancangan Latihan dan Kakitangan, Hajah Siti Mayang binti Haji Hussin, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta kakitangan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat. Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Guru Agama, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Haji Othman bin Haji Asat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat mengucapkan syabas dan tahniah atas kenaikan pangkat berkenaan dan diharap menjadi dorongan untuk meningkatkan lagi komitmen, kualiti, produktiviti dan mutu kerja yang lebih efektif ke arah menuju kecemerlangan bagi mencapai visi dan misi jabatan.
