Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenal pasti punca kelemumur

    Selain rambut kusut dan bercabang, punca lain wanita hilang keyakinan adalah masalah rambut kelemumur.

    Percaya ataupun tidak, memang ada wanita yang sanggup tidak keluar rumah kerana masalah kelemumur yang serius.

    Jika setakat kelemumur halus yang muncul setelah seharian tidak mencuci rambut itu dikira normal, namun ada yang hingga berkuping-kuping, jadi logiklah ia mengganggu penampilan dan keyakinan diri.

    Menjaga rambut daripada masalah kelemumur tidak sukar cuma perlu rajin. Jika awda mengambil soal penjagaan rambut dan kulit kepala sambil lewa akan menyebabkan kelemumur, gugur dan bercabang.

    Walaupun bertudung, penjagaan rambut tetap diutamakan, malah penjagaan tambahan perlu diberikan berbanding mereka yang tidak berhijab. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi sekali gus mengundang masalah kelemumur yang serius.

    Setiap individu perlu peka terhadap punca masalah ini untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut. Biasanya masalah kelemumur ini disebabkan beberapa perkara seperti berikut:

    Dengan penjagaan rambut yang konsisten, wanita mampu mengelakkan masalah kelemumur sekali gus meningkatkan lagi keyakinan penampilan. – Envato
    Gambar Envato

    DERMATITIS SEBOREA

    Biasanya menunjukkan simptom gatal-gatal, kulit kepala berminyak atau kulit kepala kering, gatal dan berkuping. Keadaan ini disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering dan kurang berminyak berbanding punca-punca lain yang menyebabkan kelemumur.

    SENSITIF

    Bagi wanita yang mengalami masalah sensitif pada sesetengah produk rambut akan mengalami situasi kulit kepala kemerahan dan gatal. Sebenarnya terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.

    JANGKITAN YIS MALASSEZIA

    Selain itu, kelemumur juga boleh disebabkan jangkitan yis Malassezia. Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir setiap individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah.

    Namun apabila tidak terkawal, ia akan merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil.

    Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal, kemudiannya bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, lantas menyebabkan ia kelihatan memutih, berkuping dan jelas kelihatan pada rambut serta pakaian awda.

    Namun punca sebenar Malassezia tidak diketahui. Boleh jadi ia disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti Parkinson, sistem imunisasi terganggu, tidak mencuci dengan kerap dan semua masalah ini menyumbang kepada kelemumur.

    TIDAK MENCUCI RAMBUT

    Bagi wanita yang jarang mencuci rambut juga mudah mendapat masalah ini. Jika awda tidak mencuci rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, lantas menyebabkan kelemumur.

    PSORIASIS

    Ada sesetengah wanita menghidapi masalah psoriasis yang merupakan sejenis penyakit kulit biasa yang menjejaskan kitaran hidup sel kulit akibat sel tumbuh dengan cepat pada permukaan kulit, membentuk sisik tebal, berkilat, gatal, kering, kemerah-merahan dan kadangkala menimbulkan rasa sakit yang berlarutan. Keadaan ini biasa berlaku di sekitar lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala.

    EKZEMA

    Penghidap penyakit kulit ekzema juga biasa mengalami kelemumur. Ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya, namun awda boleh merawatnya agar ia tidak menjadi serius. Lebih elok jika mendapatkan nasihat doktor. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda