Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 31 Mei – Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara (PJN) Pengiran Haji Abu Bakar di sini hari ini.
Seramai lebih 500 pelajar Tahun 7 hingga 9 sekolah berkenaan telah menghadiri jerayawara tersebut.
Hadir sama ialah Guru Kanan I Pentadbiran Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar, Awang Ghazali bin Jaafar dan Guru Kanan II Pentadbiran, Awang Mohd Aminor Rashid bin Wahap.
Taklimat Kenali ASEAN yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan selaku Setiausaha bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim antara lain memberigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN.
Di samping itu juga, semasa taklimat itu para pelajar berpeluang menguji minda melalui sesi Kuiz ASEAN yang disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Awang Isa bin Abdul Rahman serta penyampaian hadiah kepada pelajar yang berjaya menjawab kuiz berkenaan.


Melalui taklimat yang disampaikan sepanjang jerayawara tersebut, ia juga untuk mengenal pasti sejauh mana para pelajar mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi itu dalam membangun negara-negara anggotanya. Di samping untuk menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para pelajar sebagai masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.’
Jerayawara tersebut dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar-pelajar sekolah kerana mereka merupakan golongan belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini.
Program tersebut, merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan para pelajar dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama mengukuhkan hubungan antara jabatan berkenaan dengan masyarakat khususnya pelajar-pelajar di negara ini.