Monday, April 21, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali fungsi penubuhan ASEAN

    TUTONG, 6 JULAI – Seramai 231 orang penuntut dari Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN (JKA) anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, hari ini.

    Jerayawara yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, adalah sekolah kesembilan yang dikunjungi oleh Jabatan Penerangan bagi program JKA yang merupakan salah satu usaha berterusan jabatan tersebut dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpa-duan (ASEAN-ness) di kalangan penuntut-penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Semasa taklimat tersebut, para penuntut diberikan pendedahan meluas mengenai pengetahuan asas berkaitan ASEAN.

    Jerayawara tersebut dalam masa yang sama mengukuhkan hubungan antara jabatan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut yang merupakan bakal pewaris kesinambungan bangsa dan memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Taklimat turut membarigakan Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2021 dengan tema We Care, We Prepare, We Prosper.

    Para penuntut juga berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai latar belakang negara-negara ASEAN.

    Turut diadakan semasa je- rayawara tersebut ialah Kuiz ASEAN bagi mengenal pasti sejauh mana pengetahuan penuntut sekolah tersebut mengenai ASEAN dan peranan organisasi tersebut dalam membangun negara-negara anggotanya.

    Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara ahli ASEAN, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

    Aplikasi tersebut merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI. Turut hadir ialah para tenaga pengajar sekolah berkenaan.

    Pegawai dari Jabatan Penerangan menyampaikan taklimat semasa jerayawara tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda