Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali jenis-jenis umpan tiruan

    Oleh Raz AS.

    Apa yang diikat pada hujung tali pancing merupakan faktor terbesar kepada setiap kejayaan trip seorang pemancing, terutama dalam bab pemilihan umpan.

    Bercerita mengenai umpan, sejak dahulu lagi pemancing tidak putus-putus melakukan uji kaji untuk mencari umpan mana yang berkesan menjerat ikan dan mana yang tidak.

    Memang diakui bahawa tidak ada umpan yang boleh dikatakan sebagai yang terunggul kerana seperti juga manusia dan haiwan lainnya, selera ikan adalah berlainan mengikut jenis atau spesies dan juga boleh berubah-ubah kerana pelbagai faktor seperti tempat, arus, cuaca, suhu, masa dan lain-lain lagi.

    Oleh yang demikian tidak hairanlah sekiranya hari ini si pemancing berjaya mendapatkan banyak tangkapan dan esok pula pulang dengan muka yang suram meski memancing di tempat yang sama menggunakan umpan yang sama, atau si pemancing yang terkenal pakar di tempatnya tewas di padang pancing baharu kerana umpan yang digunakan tidak mendapat sambutan dek malu bertanya dengan penduduk setempat mengenai umpan yang sesuai.

    Terdapat pelbagai pilihan umpan yang tidak terkira banyaknya yang boleh digunakan oleh pemancing untuk menjerat ikan memakan mata kail. Tidak kiralah daripada umpan konvensional seperti umpan hidup atau mati, tumbuhan atau buah-buahan, tepung atau dedak yang digaul dan lain-lain sehinggalah ke umpan tiruan atau lure yang diperbuat dalam pelbagai bentuk dan rupa serta warna. Pada siri kali ini, penulis akan membincangkan secara am mengenai jenis-jenis umpan tiruan atau lure yang biasa ditemui. Mungkin bagi sesetengah pemancing ada yang menganggap penggunaan umpan tiruan adalah umpama ‘tiada akar rotan pun berguna’. Bermakna penggunaan umpan tiruan bagi mereka hanyalah ketika terdesak iaitu sebagai pilihan terakhir jika tidak berjaya mendapatkan umpan konvensional.

    Sejak dahulu lagi pemancing tidak putus-putus melakukan uji kaji untuk mencari umpan mana yang berkesan menjerat ikan dan mana yang tidak. – Agensi
    Memancing menggunakan lure bukan sahaja mempunyai kelebihan seperti umpan sentiasa tersedia untuk digunakan bila-bila masa sahaja dan boleh digunakan lebih daripada sekali serta tidak akan busuk seperti umpan konvensional. – Agensi

    Walau bagaimanapun, sebenarnya umpan tiruan tidak kurang hebatnya, bahkan kadang-kadang lebih berkesan lagi berbanding menggunakan umpan konvensional, selagi mana pemancing menggunakan teknik dan taktik yang betul.

    Tambahan lagi memancing menggunakan lure bukan sahaja mempunyai kelebihan seperti umpan sentiasa tersedia untuk digunakan bila-bila masa sahaja dan boleh digunakan lebih daripada sekali serta tidak akan busuk seperti umpan konvensional, ia juga memberikan kepuasan yang berlainan kepada pemancing dibandingkan dengan penggunaan umpan konvensional yang sukar untuk diterangkan melainkan dengan mengalaminya sendiri.

    Secara amnya umpan tiruan atau lure terbahagi kepada beberapa jenis iaitu hard body lure, softplastic, spoon, Jig, spinnerbait dan fly.

    Hard body lure

    Hard body lure boleh dikatakan sebagai umpan tiruan yang paling popular. Umpan tiruan jenis ini diperbuat daripada kayu atau plastik dalam pelbagai saiz dan bentuk untuk menyerupai ikan, katak atau hidupan lainnya seperti krustasea yang menjadi mangsa kepada ikan-ikan predator. Selalunya, tetapi tidak semestinya, hard body lure mempunyai dua bentuk mata kail treble (mata tiga) yang tergantung pada bahagian ekor dan badannya.

    Lure ini mengikut reka bentuknya masing-masing, boleh mencapai pelbagai aras kedalaman, ada yang direka untuk timbul di permukaan ada juga yang direka untuk menyelam sehingga mencecah kedalaman sekian-sekian. Antara jenis-jenis lure yang termasuk dalam kategori hard body lure adalah seperti popper, stickbait, crankbait, dan swimbait.

    Softplastic

    Umpan tiruan jenis softplastic merupakan jenis lure yang kini semakin mendapat tempat di kalangan pemancing. Ia diperbuat daripada bahan plastik lembut seakan-akan getah dan. selalunya digabungkan penggunaannya bersama mata kail tunggal seperti worm hook, jighead dan lain-lain lagi. Umpan tiruan ini sangat versatil penggunaannya terutama sekali sebagai search bait kerana pemancing boleh menggunakannya untuk mencari di mana ikan berada di pelbagai aras kedalaman tanpa perlu menukar-nukar lure. Bukan itu sahaja pemancing juga boleh melontar lure terus ke dalam struktur tempat ikan bersembunyi seperti reba tanpa perlu risau dengan risiko sangkut jika digabungkan dengan mata kail jenis offset atau texas rig. Antara jenis-jenis softplastic lure adalah seperti curlytail, paddle tail, jerkbait, tube, worm, frog dan creature bait.

    Spoon

    Spoon merupakan antara jenis umpan tiruan tertua yang masih mempunyai tempat di hati sebilangan pemancing. Badannya diperbuat daripada besi nipis yang melengkung seakan-akan kepala sudu yang memberikannya gaya renangan menyerupai ikan yang tercedera. Ia digandingkan dengan mata kail treble atau tunggal pada bahagian hujungnya. Penggunaannya untuk menjerat ikan di kawasan jeram sangat popular di negara-negara jiran kita.

    Jig

    Terdapat dua jenis umpan tiruan yang dikenali sebagai jig iaitu jig yang popular digunakan di air tawar oleh kalangan pemancing ikan bass di barat, yang mana rupa bentuknya berupa jighead dengan mata tunggal yang diikat bersama bulu atau rambu, dan jig air masin yang berbentuk kepingan besi. Jig air masin terbahagi kepada dua iaitu fast jig di mana bentuknya berupa besi tirus, ia digunakan untuk memburu spesies ikan pelagik seperti tenggiri, tuna, alu-alu dan trevally. Manakala slow jig berbentuk lebih leper dan lebar yang digunakan untuk memburu ikan dasar seperti kerapu, ikan merah dan lain-lain. Kedua-dua jenis jig air masin ini digandingkan bersama mata tunggal dan kadang-kadang ditambah lagi dengan assist hook.

    Spinnerbait

    Spinnerbait berbentuk aneh dan tidak bertujuan untuk menyerupai apa-apa ikan atau mangsa. Badannya terbuat daripada wayar besi seakan berbentuk ‘V’, pada bahagian mata kailnya mempunyai badan yang berbentuk seperti jighead dan diikat dengan rambu atau bulu, manakala pada hujung wayar bahagian atas pula mempunyai kepingan besi yang berbentuk daun atau kipas. Spinnerbait memikat ikan yang bersifat pemangsa dari jauh dengan kilauan dan ‘kucah’ air yang terhasil daripada pusingan kepingan besi atau kipas tersebut. Di rantau kita spinnerbait selalunya digunakan untuk memburu ikan jenis snakehead seperti dalak dan toman.

    Fly

    Fly diperbuat daripada sebentuk mata kail tunggal yang diikat bersama bulu untuk menyerupai serangga atau anak ikan kecil. Umpan fly terbahagi kepada dua jenis iaitu dry fly yang terapung di permukaan seakan-akan serangga yang jatuh ke air dan wet fly yang tenggelam ke dalam air untuk menyerupai larva serangga atau anak ikan. Kerana sifatnya yang kecil dan ringan, secara tradisionalnya umpan fly digunakan bersama set pancing fly dengan menggunakan tali pancing yang dikenali sebagai tippet untuk membuat lontaran, walau bagaimanapun fly juga boleh digunakan bersama set pancing biasa jika digandingkan bersama pelampung buih lut sinar (clear bubble float) atau digunakan bersama sabiki rig atau lebih dikenali sebagai anjun di negara kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda