Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali kegunaan umpan tabur

    Oleh Raz AS

    Umpan tabur selalunya diperbuat daripada campuran cencangan organ, darah dan daging ikan, yang digunakan untuk menarik perhatian ikan-ikan buruan terutama daripada spesies game fish.

    Penggunaan umpan tabur mampu menjadikan trip memancing yang kurang produktif menjadi sebaliknya, bahkan jika kena dengan tempatnya si pemancing mungkin akan berpesta ria dengan hasil tangkapan yang banyak.

    Bagi spesies ikan air masin, boleh dikatakan semuanya pasti akan tertarik dengan umpan tabur. Bau dan aroma umpan tabur yang dibawakan oleh arus laut menarik perhatian ikan yang berada jauh dari tempat awda.

    Begitu juga cebisan-cebisan umpan tersebut, setentunya akan menggoda pelbagai spesies untuk datang mendekati, termasuk ikan-ikan kecil dan anak-anak ikan untuk berkumpul yang kemudiannya akan menarik perhatian ikan-ikan besar yang menjadi sasaran si pemancing.

    Umpan tabur boleh diperoleh sama ada dengan membeli produk umpan tabur yang tersedia di pasaran atau dengan membuatnya sendiri. Kelebihan membuat umpan tabur sendiri, si pemancing boleh memilih bahan-bahan yang ingin dicampurkan ke dalamnya, sekali gus dapat mengkhususkan spesies yang ingin dipikat menggunakan umpan tersebut.

    Umpan yang ditabur janganlah terlalu banyak sekali gus. Cukup sekadar untuk memikat ikan bukannya memberi makan ikan.
    Penggunaan umpan tabur mampu menjadikan trip memancing yang kurang produktif menjadi sebaliknya.

    Contohnya, bagi si pemburu ikan, umpan tabur mereka selalunya akan mengandungi campuran dedak atau roti paun dan udang bubuk, manakala pemburu ikan palegik pula umpan mereka lebih kepada daging ikan yang dipotong halus atau dikisar.

    Meskipun begitu, seperti yang telah diterangkan, selagi mana umpan tabur yang disajikan mampu menarik perhatian ikan-ikan kecil, sudah pasti juga secara tidak langsung ikan-ikan besar akan datang sendiri.

    Bahan-bahan untuk membuat umpan tabur sendiri, yang boleh dikatakan universal untuk menarik perhatian pelbagai spesies ikan daripada kecil hinggalah yang besar, sangat senang untuk diperolehi.

    Campurkan beberapa bantal roti paun, lebih baik lagi jika telah tamat tempoh agar tidak membazir dan barangkali boleh diperoleh secara percuma, dengan sos ikan.

    Sos ikan senang diperoleh di pasar raya, meskipun tujuan asalnya digunakan untuk memasak dan menyedapkan makanan namun bau hamis ikan yang ada pada sos ini serta sifatnya yang mudah larut di dalam air menjadi senjata ampuh untuk menarik perhatian ikan di dalam air.

    Setelah itu awda boleh mencampurkan beberapa tin makanan kucing untuk menambah baunya, pilih makanan kucing yang paling murah dan kuat baunya, sebelum memasukkan potongan-potongan ikan segar. Ikan segar daripada jenis yang berminyak seperti ikan kembura merupakan pilihan terbaik.

    Potongan ikan sebaiknya dalam pelbagai saiz agar ia tidak tenggelam pada masa yang sama, biar ada yang hanyut, tenggelam perlahan dan ada yang sampai ke dasar. Dengan ini awda boleh menarik perhatian ikan di pelbagai tahap kedalaman.

    Umpan yang ditabur janganlah terlalu banyak sekali gus. Cukup sekadar untuk memikat ikan bukannya memberi makan ikan. 15 ke 20 minit selalunya sudah cukup untuk menunggu umpan tabur awda melakukan kerjanya dan sekiranya masih tidak mendapat sebarang tangkapan mungkin sahaja awda perlu mencari tempat yang lebih strategik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda