Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali lebih dekat sistem pendidikan sekolah Singapura

    Oleh Sim Y. H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dengan matlamat untuk mengenali lebih dekat sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah rendah Republik Singapura, rombongan guru dan pelajar dari Sekolah Rendah (SR) Amar Pahlawan mengadakan lawatan ke SR Yangzheng, Singapura, hari ini.

    Lawatan selama lima hari bermula 22 hingga 26 September yang diselaraskan oleh Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan itu merupakan Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan tiga guru dan 12 pelajar Tahun 5 dan 4 itu ialah Pemangku Penolong Pengarah, JSS, Dayang Norhaiyati binti Haji Serudin.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari JSS, ibu bapa serta ahli keluarga para pelajar dan guru-guru berkenaan.

    Ketua rombongan iaitu Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar, SR Amar Pahlawan, Hajah Siti Hadizah binti Haji Mahbub dalam temu bual bersama Media Permata menyatakan, para pelajar Brunei akan menyertai sesi pembelajaran terutama bahasa Melayu dan Inggeris di SR Yangzheng termasuk pendedahan kepada kaedah pembelajaran dan pengajaran sekolah berkenaan.

    Dayang Norhaiyati memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan guru dan pelajar Sekolah Rendah Amar Pahlawan yang menyertai Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Para ahli rombongan akan menghadiri kelas pembelajaran di SR Yangzheng, dari pukul 8 pagi hingga pukul 4:30 petang serta selepas itu, mereka akan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum yang disusun termasuk sesi lawatan, pertukaran dan perbincangan.

    Mengulas mengenai harapannya menerusi penyertaan rombongan dalam program berkenaan, Hajah Siti Hadizah menyatakan matlamat utama penyertaan mereka dalam program itu adalah untuk memberi satu ruang dan peluang kepada para pelajar sekolah berkenaan bagi mengikuti pembelajaran di luar negara sebagai duta kecil dari Negara Brunei Darussalam.

    “Semasa di sana, mereka akan mengikuti pembelajaran dan pengajaran dari SR Yangzheng untuk mereka menimba pengetahuan bagaimana kelas-kelas pembelajaran dijalankan, waktu-waktu pembelajaran, sesi pergaulan di dalam sekolah dan bagaimana sesi pengajaran guru-guru di sana.

    “Ia akan memberikan mereka satu pengalaman yang baharu dalam mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang di-laksanakan oleh Sekolah Rendah Yangzheng,” tambahnya.

    Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura tahun ini merupakan kali pertama diadakan sebagai kerjasama di antara SR Amar Pahlawan dan SR Yangzheng.

    Program itu bermatlamat untuk memupuk kerjasama dalam pembelajaran serta memperkenalkan budaya masing-masing.

    Di samping itu, program berkenaan turut menumpukan kepada pertukaran sosiobudaya serta mengukuhkan lagi hubungan erat dan kerjasama yang sedia terjalin antara Brunei dan Singapura.

    Program itu juga akan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang hidup berdikari di luar negara dalam usaha menuntut ilmu pengetahuan secara lebih berkesan di sekolah-sekolah cemerlang di Singapura.

    Di samping itu, para pelajar juga akan berkesempatan melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di Singapura bagi mempelajari sejarah serta kebudayaan di sana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda