Kenali lebih dekat zaman kegemilangan Brunei

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Orang ramai yang mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang anak-anak semasa cuti sekolah ini bolehlah mengunjungi Galeri Kegemilangan Maritim Brunei di Muzium Maritim Brunei Darussalam yang telah dibukakan kepada orang ramai.

Pengamal media telah diberi peluang untuk meninjau galeri berkenaan, hari ini, menerusi lawatan media yang bertujuan untuk memberikan sedikit penerangan mengenai galeri yang baharu dibukakan pada 16 Julai lalu.

Semasa lawatan itu, Pegawai Arkeologi, Muzium Maritim Brunei, Hajah Nur Kamilah binti Haji Ismail memberikan sedikit sebanyak penerangan berkaitan galeri yang baru diubahsuai tersebut.

Muzium Maritim Brunei Darussalam telah berkenan disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah pada 23 Mac 2015.

Tajuk galeri berkenaan diberi nama Zaman Kegemilangan Brunei, atau Zaman Kegemilangan Maritim, di mana Brunei pada masa dahulu memang salah satu negara tertua di tanah melayu yang didominasikan dengan aktiviti perdagangan di perairan Brunei.

Antara replika berbentuk sebuah kapal layar yang boleh disaksikan di Galeri Kegemilangan Maritim. Galeri Kegemilangan Maritim Brunei di Muzium Maritim Brunei Darussalam yang dibahagikan kepada tiga zon kini dibukakan untuk kunjungan orang ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani
Pelbagai barangan bersejarah yang boleh disaksikan di Galeri Kegemilangan Maritim.
Para pengunjung juga boleh melihat secara lebih dekat tembikar-tembikar Asia Tenggara yang ditemui semasa kerja-kerja penggalian di Negara Brunei Darussalam.
Galeri Kegemilangan Maritim Brunei di Muzium Maritim Brunei Darussalam dibukakan untuk kunjungan orang ramai.

Dibahagikan kepada tiga zon, antaranya Galeri Kapal Karam Brunei, dan Galeri Kegemilangan Maritim. Galeri berkenaan mengisahkan tentang kemunculan empayar Brunei sebagai negara tertua di Tanah Melayu.

Galeri Kegemilangan Maritim mempamerkan bukti-bukti yang nampak melalui penemuan arkeologi seperti penemuan syiling, manik dan gelang kaca, kulit kerang (yang pernah juga dijadikan sebagai pertukaran wang), pemberat pukat dan juga produk-produk Brunei khususnya daripada bahan-bahan tembaga.

Bahan-bahan peninggalan sejarah tersebut memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman dalam mengenali zaman lampau dan juga sebagai bukti aktiviti perdagangan yang dilaksanakan negara ketika zaman dahulu.

Selain daripada itu, pa-meran di galeri ini juga menitik beratkan tentang kepentingan sungai, yang juga sinonim dengan kehidupan orang Brunei dalam melaksanakan keperluan seharian seperti perhubungan, ekonomi, pengangkutan dan sosial termasuklah perdagangan.

Para pengunjung juga boleh melihat secara lebih dekat tembikar-tembikar Asia Tenggara yang ditemui semasa kerja-kerja penggalian di Negara Brunei Darussalam juga menguatkan bukti bahawa negara Brunei juga turut menjalani perdagangan antarabangsa.

Tembikar-tembikar yang dipamerkan adalah dari negara-negara Thailand, Vietnam, Champa dan Burma, daripada jenis tembikar tanah dan tembikar berglasir yang dihasilkan pada abad ke 10-13 masihi.

Ini adalah perisian bagi salah satu galeri yang baru diubah suai di Muzium Maritim Brunei Darussalam.

Oleh demikian, orang ramai yang ingin mengunjungi Muzium Maritim Brunei, lawatan pada tahap keempat sepanjang tempoh de-escalation ialah dibukakan setiap hari Selasa hingga Khamis, Sabtu dan Ahad antara jam 9 pagi hingga 2 petang dan tutup setiap hari Isnin dan Jumaat.