Oleh Raz AS
Pelampung merupakan salah satu daripada peralatan yang digunakan ketika memancing.
Dikenali sebagai fishing float atau bobber dalam Bahasa Inggerisnya, pelampung dihubungkan ke tali pancing berdasarkan beberapa faktor yang tertentu.
Faktor yang paling utama adalah agar umpan yang dipersembahkan di hujung kail akan tetap berada di aras kedalaman yang dimahukan; kedua, sebagai alat penunjuk visual atau indikator umpan dimakan ikan; dan ketiga untuk menghanyutkan umpan ke tempat sasaran yang sukar diraih dengan lontaran.
Terdapat pelbagai jenis pelampung pancing yang boleh didapati di pasaran yang penggunaan setiap satunya adalah mengikut situasi padang pancing yang berlainan.
Dengan rupa bentuk dan saiz yang berbeza pelampung pancing diperbuat daripada bahan-bahan yang boleh terapung seperti kayu, gabus, plastik, styrofoam dan lain-lain.

Tidak diketahui bilakah pelampung mula digunakan sebagai salah satu peralatan yang digunakan semasa memancing namun yang pastinya terdapat rekod yang menunjukkan bahawa teknik memancing menggunakan pelampung telah dicatatkan di dalam buku yang dikarang oleh Juliana Berners, seorang penulis berbangsa Inggeris, mengenai berburu pada tahun 1496.
Di dalam buku tersebut, beliau telah menghuraikan penggunaan gabus sebagai pelampung pancing, yang mana gabus tersebut dilubangkan pada bahagian tengahnya dan dimasukkan tali pancing kemudian dicucuk dengan bulu pelepah burung agar pelampung tersebut tidak menggelongsor.
Kebanyakan pelampung pancing di pasaran mempunyai tanda berat dan warna terang pada bahagian atasnya. Tanda ini adalah sebagai sukat-sukat kepada pemancing untuk mengetahui berapa berat batu pancing atau pemberat yang diperlukan agar pelampung tersebut dapat berfungsi dengan baik.
Warna terang pada bahagian atasnya bukan hanya bertujuan agar mudah dilihat oleh pemancing ketika ia digunakan, untuk berfungsi dengan baik mengesan getuan lembut ikan pada umpan pelampung tersebut haruslah tenggelam separuh sehingga pada aras warna tersebut.
Penggunaan pemberat yang terlalu ringan akan menyebabkan pelampung ‘tumbang’ manakala jika terlalu berat pula pelampung akan tenggelam sama sekali.
Kepanjangan perambutnya pula adalah berdasarkan kedalaman air atau aras kedalaman di mana umpan diinginkan. Jika di kawasan cetek umpan boleh dilabuh hampir mencecah dasar atau separuh air namun elakkan umpan mencecah dasar bagi menghindari sangkut atau pelampung ‘tumbang’.
Untuk menduga kedalaman perairan yang diketahui cetek, sekiranya pelampung yang digunakan ‘tumbang’ kerana perambut mencecah atau tersangkut di dasar pendekkan sedikit tali perambut dengan memotong kira-kira 6 inci dan lontar kembali ke tempat tersebut. Ulangi sehingga pelampung dapat berdiri tegak.
Untuk memilih pelampung pancing yang sesuai digunakan anda tidak perlu sampai pening kepala meski berhadapan dengan banyak pilihan yang tersedia. Apa yang penting saiz dan bentuk pelampung yang anda pilih adalah berdasarkan keadaan perairan tempat anda memancing, cuaca, spesies buruan dan kejauhan lontaran yang dimahukan.
Sebagai pengetahuan am, pelampung jenis waggler (berbentuk seperti batang pensil) digunakan untuk memancing di perairan yang tidak berarus seperti kolam dan tasik. Manakala untuk perairan yang berarus seperti di sungai pelampung jenis stick (seperti batang lidi) atau avon (seperti stick tetapi mempunyai badan bulat pada bahagian atas) lebih sesuai ke-rana dapat mengurangkan kelajuan hanyut dek faktor arus.
Namun yang pastinya tidak kisahlah ingin menggunakan pelampung bentuk bagaimana sama ada buatan sendiri atau dibeli di kedai, tidak kira teknik perambut apa yang anda ingin guna pakai bersama pelampung kerana dalam dunia memancing tidak perlu takut untuk sentiasa mencuba meski tidak ada dalam ‘buku teks’.