Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali peranan dan tanggungjawab AMBD

    Oleh Sim Y. H.

    Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), ditubuhkan pada 1 Januari 2011 sebagai sebuah badan berkanun seperti yang ditetapkan dalam Perintah AMBD, 2011.

    Ia bertindak sebagai sebuah bank pusat Negara Brunei Darussalam dengan bertanggungjawab merumuskan dan melaksanakan dasar monetari, menasihatkan kerajaan bagi susunan monetari serta juga mengawal selia bank-bank dan institusi-institusi kewangan lain. AMBD mempunyai pelbagai fungsi utama di mana salah satu daripada fungsi berkenaan adalah untuk mengeluarkan dan menguruskan mata wang Brunei di bawah Perintah Mata Wang, 2004 (CO,2004), hanya AMBD dibenarkan untuk mengeluarkan wang dan duit syiling Brunei.

    Individu-individu atau organisasi-organisasi lain adalah tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang wang dan duit syiling atau mana-mana dokumen atau token yang menyerupai atau mungkin digunakan sebagai wang yang sah.

    AMBD pada masa ini, mengeluarkan tiga jenis mata wang di Negara Brunei Darussalam iaitu wang edaran, duit syiling edaran serta wang dan syiling peringatan, dengan wang dan syiling edaran tidak memenuhi standard akan dipulangkan kepada AMBD untuk digantikan dengan wang yang lebih baik. Syiling juga dikekalkan dalam kaedah yang serupa namun disebabkan oleh sifat tahan logam, syiling akan bertahan lebih lama dalam edaran.

    Wang polimer mula diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam pada 1996 di mana pada masa ini, wang polimer di Brunei dikeluarkan dalam denominasi $1, $5, $10, $50, $100, $500, $1000 dan $10,000. Namun begitu, sebagai sebahagian inisiatif untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan jenayah kewangan seperti penggubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pemalsuan nota mata wang denominasi tinggi, AMBD mengumumkan pemberhentian pengeluaran $10,000 kepada bank-bank di Negara Brunei Darussalam bermula 2 November 2020. Bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai wang kita, boleh diperoleh di laman sesawang AMBD, www.ambd.gov.bn.

    ATAS & BAWAH: Nilai dolar Brunei dan Singapura sentiasa sama melalui Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang (CIA).

    Wang kertas polimer bernilai $10,000 telah pun dimansuhkan penggunaannya bagi mengelakkan jenayah kewangan.

    Sementara itu, mengenai dengan pengedaran syiling, edisi terkini syiling yang diedarkan telah dikeluarkan pada 2017 bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta di mana syiling berkenaan membawa potret Baginda Sultan pada sisi hadapan manakala menggambarkan beberapa imej alat-alat kebesaran diraja pada sisi belakang.

    Bagi nota wang dan syiling peringatan, ia dikeluarkan untuk menandakan acara atau majlis istimewa bagi Negara Brunei Darussalam seperti Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Nota wang peringatan terkini telah dikeluarkan pada 2017 bagi memperingati Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta. AMBD juga menyatakan bahawa bekalan wang ditetapkan oleh Dasar Monetari Negara Brunei Darussalam.

    Dasar Monetari merupakan sebuah dasar makroekonomi yang digubal oleh bank pusat sesebuah negara yang memberi kesan kepada bekalan wang atau/dan kadar faedah dalam negara berkenaan.

    Matlamat atau objektif dasar monetari adalah berbeza-beza di mana ia termasuk untuk mencapai pekerjaan penuh, pertumbuhan ekonomi tinggi, tahap harga yang stabil atau kadar pertukaran yang stabil.

    Instrumen dasar kewangan boleh disesuaikan dari semasa ke semasa bergantung pada prestasi ekonomi dan apa yang ingin dicapai oleh bank pusat.

    Apakah Dasar Monetari Brunei Darussalam?

    Rejim dasar monetari Negara Brunei Darussalam adalah berdasarkan kepada Susunan Lembaga Mata Wang yang bersandarkan kepada Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang (CIA) di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Susunan Lembaga Mata Wang

    Sebuah Autoriti Monetari menetapkan mata wangnya ke mata wang yang lain atau mata wang simpanan dan mengeluarkan wang domestik hanya dalam pertukaran bagi mata wang simpanan asing.

    Mata wang tempatan itu boleh ditukarkan sepenuhnya kepada mata wang simpanan pada kadar ditetapkan dan secara permintaan. Ia juga dinyatakan dalam Perintah Mata Wang, 2004, di mana ia memerlukan AMBD untuk membuat sandaran bagi setiap wang dan syiling yang dikeluarkan dengan simpanan pertukaran asing. Ini adalah untuk memastikan keyakinan dan kestabilan dalam dolar Brunei dan oleh itu, memudahkan perdagangan dan pelaburan.

    Menurut sumber AMBD (September 2020), terdapat sebanyak $1,286.77 juta wang dan syiling Brunei dalam peredaran dan ini bermakna kita mempunyai sekurang-kurangnya $1,286.77 juta dalam simpanan pertukaran asing.

    Dengan dolar Singapura sebagai sauh (anchors) bagi dolar Brunei, dasar monetari Singapura mempunyai pengaruh langsung terhadap keadaan kewangan di Negara Brunei Darussalam. Singapura menggunakan kadar pertukaran sebagai peralatan dasar monetarinya dan rangka kerja dasar monetari yang lama berasaskan kepada CIA amat bermanfaat bagi kestabilan makroekonomi. Sememangnya, inflasi di Brunei Darussalam adalah rendah dan stabil, iaitu secara purata 1.1 peratus bagi tempoh 1981 hingga 2019 menurut perangkaan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, 2019.

    Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang (CIA). Perjanjian itu menjadikan Brunei Darussalam dan Singapura sebuah kes unik bagi sebuah lembaga mata wang. Di bawah CIA, autoriti mata wang dan bank-bank berlesen di kedua-dua buah negara adalah diwajibkan untuk menerima dan menukar mata wang masing-masing secara par dan tanpa sebarang caj kepada mata wang mereka sendiri.

    Nilai dolar Brunei dan dolar Singapura adalah sentiasa sama iaitu BND1 = SGD1. Oleh itu, dolar Brunei adalah tender biasa (customary tender) di Singapura dan dolar Singapura adalah tender biasa di Brunei Darussalam di mana tender biasa adalah berbeza daripada tender sah. Tender sah adalah mana-mana medium pembayaran rasmi yang dikenali oleh undang-undang yang boleh digunakan bagi pembayaran (atau obligasi kewangan lain) dalam negara berkenaan.

    Biasanya, tender sah adalah mata wang kebangsaan yang dikeluarkan oleh negara berkenaan. Manakala itu, adalah biasa untuk menerima dolar Brunei di Singapura dan dolar Singapura di Brunei Darussalam. Oleh itu, di Brunei Darussalam, dolar Brunei adalah tender sah manakala itu, dolar Singapura adalah tender biasa begitu juga sebaliknya.

    Susunan unik berkenaan adalah saling bermanfaat bagi kedua-dua negara di mana ia menghilangkan risiko kadar pertukaran di antara Brunei dan Singapura yang biasanya akan menyebabkan ketidaktentuan dan menjadi sebuah risiko kepada operasi perniagaan dan pelaburan.

    Ia juga mengurangkan kos untuk melakukan perniagaan di antara Brunei Darussalam dan Singapura serta juga memudahkan pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

    Di bawah CIA, pihak autoriti bersetuju untuk memulangkan tender biasa yang dikumpulkan menerusi penghantaran balik mata wang yang mana AMBD akan menghantar balik mata wang Singapura kepada Autoriti Monetari Singapura (MAS) begitu juga, MAS akan menghantar balik mata wang Brunei ke AMBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda