Kunjungan ke taman permainan bukan sekadar menyeronokkan. Ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melatih tubuh badan, merangsang minda serta mengasah kemahiran sosial mereka. Ia juga menyediakan ruang untuk permainan bebas tanpa struktur yang penting bagi perkembangan sihat.
Walau bagaimanapun, ibu bapa dan keluarga masih perlu berwaspada ketika berada di taman permainan. Menurut Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat, lebih 200,000 kanak-kanak dirawat di unit kecemasan setiap tahun akibat kecederaan berkaitan taman permainan.
Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu diambil kira ketika membawa kanak-kanak ke taman permainan:
PILIH TAMAN PERMAINAN MENGIKUT KESESUAIAN UMUR
Pilih taman permainan dengan peralatan yang bersesuaian dengan umur, keupayaan, tahap perkembangan dan saiz anak awda. Contohnya, buaian kecil untuk kanak-kanak yang lebih muda boleh rosak jika digunakan oleh kanak-kanak yang lebih besar. Kanak-kanak kecil pula mungkin sukar memanjat atau mencapai peralatan yang direka untuk kanak-kanak lebih besar.
Kebanyakan kecederaan di taman permainan berlaku apabila kanak-kanak terjatuh dari peralatan ke tanah. Oleh itu, cara terbaik untuk mencegah kecederaan ialah memastikan permukaan di bawah peralatan boleh menyerap dan melembutkan impak.



Elakkan permukaan keras seperti konkrit atau tar. Walaupun rumput kelihatan lembut, ia bukanlah permukaan penyerap hentakan yang sesuai.
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS mengesyorkan lapisan tebal pelbagai bahan seperti serpihan kayu, sungkupan, pasir atau batu kecil sedalam sekurang-kurangnya 12 inci (30cm) dan meliputi sekurang-kurangnya 6 kaki (1.8m) dari setiap arah di bawah peralatan permainan. Tikar daripada getah yang diuji keselamatannya juga boleh digunakan.
KESELAMATAN SEMASA MEMANJAT
Kanak-kanak gemar memanjat. Ia membantu membina kekuatan, koordinasi serta persepsi kedalaman dan membolehkan mereka melihat sekeliling dari perspektif berbeza.
Namun, ketinggian boleh menjadi risiko keselamatan. Pastikan ketinggian peralatan permainan sesuai dan mempunyai palang keselamatan jika perlu.
Ruang menegak dan mendatar seperti di antara tali jaring hendaklah kurang daripada 3½ inci (8.9cm) atau lebih daripada 9 inci (22cm) untuk mengelakkan kepala kanak-kanak tersepit atau terjatuh.
Periksa juga jika terdapat bahagian tajam atau bertepi. Bagi struktur kayu, pastikan tiada paku atau skru yang terkeluar. Struktur logam pula tidak sepatutnya berkarat atau mengelupas kerana cat mungkin mengandungi plumbum.
Elakkan anak awda memakai atau membawa apa-apa yang boleh tersangkut pada peralatan dan menjadi risiko tercekik, seperti baju bertali atau rantai. Jauhkan tali skipping dan tali haiwan peliharaan dari kawasan permainan.
Jika anak awda menunggang basikal atau skuter ke taman permainan, pastikan mereka menanggalkan topi keledar sebelum bermain.
GUNAKAN GELONGSOR DENGAN SELAMAT
Gelongsor merupakan antara tarikan utama taman permainan. Sama ada lurus, berombak atau berpusing, ia memberi pengalaman yang menyeronokkan serta membina keyakinan diri.
Namun, gelongsor logam boleh menjadi sangat panas akibat cahaya matahari dan menyebabkan lecuran serius pada tangan dan kaki kanak-kanak.
Gelongsor plastik juga boleh menjadi panas. (Begitu juga dengan permukaan tar dan laluan gelap lain.)
Pada hari panas dan cerah, cari taman permainan yang mempunyai gelongsor serta permukaan lain yang terlindung. Gelongsor harus mempunyai platform dengan palang pemegang di atas, serta pelindung atau struktur yang memaksa kanak-kanak duduk sebelum meluncur.
Pastikan tiada batu, kaca, ranting, mainan, sampah atau kanak-kanak lain di bahagian bawah gelongsor. Kawasan pendaratan sepatutnya mempunyai keluasan yang bersamaan dengan ketinggian platform gelongsor.
Ajar anak awda untuk turun dengan kaki dahulu bagi mengelakkan kecederaan kepala dan memastikan tiada sesiapa di hadapan mereka sebelum meluncur.
Jangan meluncur bersama anak di atas riba kerana kajian menunjukkan kaki kanak-kanak mudah tersepit dan tercedera ketika menuruni gelongsor secara bersama.
BIMBINGAN ORANG DEWASA ADALAH PENTING
Satu lagi elemen utama taman permainan ialah set buaian. Aktiviti ini terbukti dapat menenangkan kanak-kanak, membina kemahiran deria serta membantu mereka berinteraksi dengan lebih baik.
Untuk mengelakkan kecederaan, pastikan jarak bebas di hadapan dan belakang buaian, serta permukaan penyerap hentakan di bawahnya, adalah dua kali ganda tinggi palang gantung.
Tempat duduk buaian hendaklah diperbuat daripada bahan lembut seperti getah, plastik atau kain kanvas dan dipasang kukuh untuk mengelakkan terbalik.
Buaian tidak seharusnya diletakkan terlalu rapat — jarak minimum antara setiap buaian ialah 24 inci (61cm) dan maksimum dua tempat duduk (atau satu buaian tayar) bagi setiap bahagian struktur.
Kanak-kanak juga perlu ditegah daripada berbuai secara meniarap atau melompat turun.
Ajar mereka agar tidak berlari di hadapan buaian ketika ia sedang digunakan.
Meskipun taman permainan tersebut selamat dan sesuai dengan umur, pengawasan dan bimbingan orang dewasa tetap merupakan cara paling berkesan untuk mengelakkan kecederaan. Malah, kajian menunjukkan hampir separuh daripada kes kecederaan di taman permainan berpunca daripada kurangnya pengawasan.
Oleh itu, semasa anak awda memanjat, meluncur, berbuai dan bermain, pastikan awda sentiasa memerhati dan bersedia untuk campur tangan jika mereka menggunakan peralatan secara tidak selamat. – ANN/The Star

