Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenang, hargai bakti guru

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Suasana mengenang jasa guru masih dirasakan oleh para guru dan murid-murid sekolah dengan majlis untuk meraikan guru terus dilaksanakan sempena Sambutan Hari Guru kali ke-34.

    Sekolah-sekolah di bawah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) tidak lupa untuk sama-sama mengenang dan menghargai khidmat bakti guru.

    Dalam hubungan itu, Sekolah PGGMB Sungai Akar mengadakan Sambutan Hari Guru dengan menganjurkan pelbagai program yang berlangsung di Sekolah PPGMB Sungai Akar, Kampung Sungai Akar, baru-baru ini. Majlis itu dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirasan bersama lebih 250 orang murid dan guru sekolah berkenaan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Doa Hari Guru oleh murid Tahun 3 dan diikuti dengan ucapan Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Haji Ali@Mustapa bin Haji Talip.

    Dalam ucapannya, Haji Ali melahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana dapat lagi meraikan Sambutan Hari Guru. Beliau menambah tema sambutan iaitu Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan amat menepati spektrum kontemporari landskap pendidikan di Negara Brunei Darussalam. Antara ciri-ciri guru berkualiti itu, jelasnya, memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran, integriti, kejujuran melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta menjadi contoh kepada yang dipimpin.

    Selain itu, tambahnya, para guru perlu bersedia menghadapi cabaran dan landskap pendidikan abad ke-21 dengan landskap teknologi yang cepat berubah serta bertambahnya maklumat-maklumat yang berpusatkan kepada mesin dan juga media sosial.

    Oleh itu, guru-guru perlu melaksanakan transformasi bidang masing-masing dalam landskap teknologi terkini.

    Manfaat yang diperoleh melalui era teknologi adalah akses kepada lebih banyak maklumat dan sumber pembelajaran di mana sebagai pendidik, mereka tidak lagi sepenuhnya menumpu kepada penggunaan kaedah talk and chalk.

    Sekolah akan terus berusaha untuk mengekalkan pencapaian cemerlang 100 peratus lulus dalam peperiksaan PSR 2023 dan tahun-tahun sebelumnya, jelas Haji Ali.

    Acara diserikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid daripada peringkat Kindergarten 1 hingga 3 dan Tahun 1 hingga 5, dengan mempersembahkan lagu-lagu hari guru.

    Haji Yahya bergambar ramai bersama guru-guru yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH PGGMB SUNGAI AKAR
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda