Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Majlis Memperingati 20 tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana ASEAN 2024, telah diadakan hari ini di Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara.
Hadir pada majlis itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana kali ke-12 (AMMDM), Pusat AHA dan Kesatuan Eropah (EU) selaku penaja acara ini.
Antara lain tujuan acara itu adalah bagi merenungkan kembali kejadian tsunami yang dahsyat dan menjadi satu peringatan pilu yang telah meragut lebih 230,000 nyawa di 14 buah negara, dengan impak bencana besar kepada komuniti Asia Tenggara dan rantau Lautan Hindi.
Di acara itu, Yang Berhormat Dato dalam ucapannya antara lain mengimbas mengenai impak bencana dan kejadian tsunami yang telah membentuk semula cara menangani bencana alam dan pentingnya bagi pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan, kedayatahanan, mitigasi dan keupayaan dalam menghadapi bencana.
Berikutan kejadian tsunami yang telah memperkukuhkan komitmen dan kesalinghubungan negara-negara ASEAN dan rantau ini, seterusnya menekankan keperluan mendesak agar setiap usaha akan terus diselaraskan bagi mengurangkan risiko bencana alam.
Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyatakan mengenai kepentingan untuk mewujudkan sistem amaran awal dan memperkukuhkan infrastruktur sebagai langkah mitigasi dalam menghadapi bencana alam di masa akan datang.
Penglibatan semua pihak di setiap peringkat masyarakat juga sangat penting dalam sama-sama membantu dan memupuk budaya tahan selain mengukuhkan kerjasama serantau terutama dalam memastikan mereka yang terjejas akibat bencana itu menerima sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan mereka.
Terdahulu Majlis Pelancaran Memperingati Pelancaran 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana ASEAN 2024, acara penanaman pokok yang simbolik di kawasan Taman Mahkota Jubli oleh menteri-menteri ASEAN.
Penanaman itu adalah bagi menandakan semangat pemulihan yang berkekalan dan sebagai tanda penghormatan sesuai kepada daya tahan alam semula jadi dan komuniti yang terjejas.