Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Hj Ahmad
Pada sekitar tahun 1976, saya telah diarahkan untuk ikut serta dalam pelayaran kapal perang jenis kapal penyapu periuk api (Minesweeper) Tentera Laut Diraja British yang pada ketika itu berpengkalan di Pengkalan Tentera Laut Diraja British HMS Tamar, Hong Kong untuk mengikuti kapal periuk api belayar dari Hong Kong ke Muara.
Tujuan penempatan ini adalah semata-mata untuk mempelajari organisasi kapal penyapu periuk api berkenaan disamping menimba pengalaman disepanjang pelayaran ke Muara.
Kapal penyapu periuk api ini di bawah perintah seorang pegawai kelasi yang berpangkat leftenan komander (mejar) dengan seramai 30 orang anak-anak buah kapal.
Setelah berada di luar teluk Hong Kong pukulan alunan ombak mula terasa di mana keadaan cuaca pada ketika itu adalah kurang baik. Ramalan kaji cuaca menunjukkan keadaan ombak di persekitaran Laut China Selatan bergelora.
Peluh sejuk sudah mulai terasa dan perasaan mengantuk sudah perlahan-lahan menguasai jiwa dan badan kami. Dalam keadaan ini bermakna kami akan menghadapi mabuk laut pada bila-bila masa sahaja. Kami mesti melawan perasaan ini dan sebaiknya melupakan saja perasaan mabuk laut itu.
Walaupun pukulan alunan ombak kuat, kami tetap meneruskan tanggungjawab dan melaksanakan tugas-tugas tanpa banyak halangan dengan menghadapi kesibukan tugas-tugas di kapal yang dapat melupakan perasaan mabuk laut ini.

Setelah berada di Laut China Selatan selama enam hari, kami pun mulalah menghampiri pengkalan Angkatan Laut Pertama di Muara. Di sepanjang pelayaran kami telah dapat melaksanakan berbagai-bagai latihan seperti latihan menembak senjata besar Bofors 40mm, Oerlikon 20mm dan senjata ringan seperti mesin gan dan pistol.
Latihan-latihan mencegah kebakaran dan kebocoran kapal, latihan ilmu pelayaran dan latihan perlaksanaan tugas-tugas kapal penyapu periuk api juga dilaksanakan.
Latihan penyelaman khusus bagi pasukan khas penyelam kapal penyapu periuk api juga dilaksanakan.
Saya merasakan latihan-latihan ini amatlah berfaedah khususnya bagi pegawai-pegawai muda di angkatan laut kita lebih-lebih lagi bidang ketenteraan laut adalah suatu perkara yang baru bagi kami.
Setelah beberapa hari dalam pelayaran keadaan cuaca beransur membaik. Dengan keadaan cuaca yang baik ini ia dapat mengizinkan pegawai-pegawai dan anak buah kapal melaksanakan tugas-tugas mereka dengan lebih baik dan berkesan lagi.
Dengan keadaan cuca ini juga selera untuk makan tidaklah mendatangkan apa-apa masalah. Bagaimanapun makanan orang-orang Inggeris di kapal ini tidaklah begitu menyelerakan. Bagi saya ia hanyalah untuk mengalas perut sahaja dan pada ketika ini teringatlah pula kita akan masakan-masakan orang-orang tua di rumah.
Tiba saja kami di kawasan perairan Champion Field, iaitu kira-kira 30 batu dari Pantai Muara, kami merasa gembira kerana tidak lama lagi kami akan merapat ke Bandar Seri Begawan. Pelayaran dari Hong Kong ke Muara adalah satu pengalaman yang sangat berfaedah bagi saya.
Saya juga dapat membayangkan dengan jelas peristiwa di mana kira-kira 500 tahun dahulu kapal-kapal layar perdagangan dari negara China belayar menuju ke kawasan rantau kita untuk berniaga, tanpa jentera dan peralatan navigasi yang canggih seperti radar atau satelit. Ahli pelayaran dahulu hanya menggunakan kaedah bintang, matahari dan bulan.
Berkemungkinan ada di antara kapal-kapal perdagangan dari negara China itu tidak berjaya memasuki destinasi yang dituju disebabkan ia telah karam kerana cuaca buruk atau muatan perdagangan yang sangat berlebihan. Belum lama dulu kapal karam ini telah dijumpai di perairan kita dengan tidak sengaja oleh kapal yang sedang membuat kajian di paras laut.
Ekoran daripada penemuan itu kira-kira 15,000 artifak, kebanyakan tembikar dari negara China telah pun dijumpai. Alhamdulilah, sedikit sebanyak dapatlah juga memberikan bantuan kepada pihak yang berkenaan memunggah barang-barang artifak tersebut ke satu lokasi di Kota Batu.
Kapal penyapu periuk api tidak akan merapat di pengkalan Angkatan Laut Pertama atau pelabuhan air dalam Muara kerana kami akan memasuki Sungai Brunei di mana kapal British ini akan merapat di pelabuhan BSB.
Bagi kami pegawai-pegawai Angkatan Laut Pertama belayar menuju ke BSB adalah satu cabaran apatah lagi bagi pegawai-pegawai kapal asing. Bagaimanapun dengan maklumat-maklumat tempatan yang telah kami berikan kepada pegawai navigasi kapal maka pelayaran menyusur masuk ke BSB melalui Sungai Brunei tidaklah banyak mendatangkan masalah, walaupun keadaan air di sepanjang Sungai Brunei adalah cetek dan sempit.
Bagi saya inilah pengalaman yang pertama belayar membawa masuk kapal penyapu periuk api ke BSB. Pengalaman ini tidak mungkin akan diperoleh lagi pada ketika ini disebabkan keadaan air di Sungai Brunei, tambahan pula jambatan menghubungi Brunei Muara dan Temburong telah pun dibina.
Mungkin juga banyak pegawai-pegawai muda tidak tahu iaitu pada satu ketika dahulu rumah kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British ialah di rumah Bumbungan Dua Belas yang letaknya di atas bukit di tebing Sungai Brunei. Dengan pandangan menuju ke arah Kampong Ayer ialah tempat kedudukan bendera Union Jack dinaikkan mulai pukul 8 pagi hingga matahari terbenam.
Kapal-kapal ronda Angkatan Laut Pertama apabila saja belayar melintasi rumah kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British mestilah memberi tabik hormat dengan piping menghala ke bendera Union Jack. Bagaimanapun kebiasaan atau tradisi ini telah beransur pudar dan hilang setelah negara kita mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1984.
Pemandangan dari kapal lebih-lebih lagi bagi pegawai-pegawai dan anak buah kapal Tentera Laut Diraja British ini sangat menyeronokkan dan Kampong Ayer tempat kelahiran penulis akan tetap dipandang indah dan menawan. Pada waktu malam Kampong Ayer akan lebih cantik dengan lampu-lampu cuculnya. Pandangan yang indah ini akan jelas dilihat dari kapal penyapu periuk api yang sedang bertambat di tambatan kastam.
Secara kebetulan pada malam itu acara resepsi diadakan di atas kapal berkenaan yang juga dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dan Pesuruhjaya Tinggi British yang ketika itu bertugas di negara kita. Keesokan harinya kapal penyapu periuk api pun meninggalkan dermaga kastam Bandar Seri Begawan untuk meneruskan perjalanan mereka ke Filipina sebelum belayar balik ke pengkalan mereka di HMS Tamar, Hong Kong.
Penulis adalah bekas pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei