Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Hari ini merupakan kenangan indah bagi sebuah keluarga asal dari Singapura yang sedang berada di Negara Brunei Darussalam kerana berkesempatan merasai detik manis menghadiri Majlis Junjung Ziarah pada Hari Raya pertama di Istana Nurul Iman.
Lebih senang dikenali dengan nama Fay semasa ditemui Media Permata, beliau berkata kunjungan pada majlis berkenaan bukanlah suatu yang dirancang sebelumnya kerana mereka sekeluarga kebetulan terdengar daripada seseorang yang dijumpai ketika bersiar-siar di negara ini bahawa Istana Nurul Iman mengalu-alukan kunjungan semua orang sempena Hari Raya Aidilfitri selama dua hari bermula hari ini.
Melihat suasana hari ini, kongsi beliau lagi, begitu terasa kemeriahannya di mana masyarakat di negara ini termasuklah para pelancong luar negara berhimpun dan tidak melepaskan peluang keemasan yang amat sukar didapati di mana-mana. Inilah keistimewaan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi rakyat dan penduduk Brunei begitu ramah.
“Inilah pengalaman terindah yang sukar saya lupakan apabila saya kembali ke tanah air nanti. Apa yang lebih menariknya, saya bersama ahli keluarga berpeluang menikmati makanan dan minuman yang lazat yang tersedia setelah selesai sesi berjunjung ziarah,” tambahnya dengan senyuman manis.
