Oleh Sim Y.H. –
TEMBURONG, 24 OGOS – Ia merupakan satu detik penuh bermakna dan menjadi ingatan manis bagi penyanyi muda berusia 12 tahun, Awang Abdul Muqsith bin Abdul Hadie yang merupakan penyanyi termuda yang membuat persembahan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, hari ini.
Dalam temu bual bersama Media Permata, Awang Abdul Muqsith yang merupakan seorang pelajar di Sekolah Menengah Sultan Hassan berkata beliau mempersembahkan sebuah lagu yang amat bermakna bagi diri dan juga masyarakatnya di mana ia menggabungkan melodi tradisional dengan susunan moden yang mengetengahkan keindahan perpaduan dan harmoni negara.
Beliau menjelaskan selain daripada nyanyian, ia juga mengetengahkan elemen tarian tradisional diiringi oleh alunan muzik yang menjadikan persembahan itu lebih bermakna dan menarik.
Mengimbas mengenai minatnya dalam bidang nyanyian, beliau berkata minat itu, lahir dari kecil lagi, pada usia kira-kira lima tahun di mana dia akan bernyanyi selalu di rumah.
Pada masa yang sama, keluarganya turut sentiasa memberikannya dorongan dan sokongan untuk terus menyanyi dengan menggalakkannya menyertai persembahan di sekolah dan acara-acara kemasyarakatan.

Beliau juga pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Bintang Kecil 2023 dan juga diberikan peluang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam di RTM Bintang Kecil di Malaysia pada 2024.
Mengulas mengenai persiapan bagi persembahan pada majlis ramah mesra itu, beliau berkata bahawa mereka telah membuat latihan selama beberapa bulan di mana ia merupakan satu tugasan yang amat menguji kebolehannya serta memerlukannya untuk belajar menyebut setiap perkataan dengan baik dalam bahasa Murut.
“Ini kerana lagu yang saya nyanyikan adalah dalam bahasa Murut dan saya amat bangga untuk membantu memulihara dan mengongsi budaya tempatan kami menerusi muzik.”
Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa ia bagaikan sebuah mimpi yang indah untuk membuat persembahan di hadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja dan amat berbesar hati diberikan peluang keemasan itu.
Ia merupakan peluang yang tidak disia-siakan olehnya dan bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik walaupun terdapat rasa gementar.
“Ini merupakan satu detik yang besar dalam kehidupan saya dan berharap dapat membuatkan semua orang turut merasa bangga,” katanya.

