Oleh Salawati Haji Yahya –
Walaupun sudah menginjak zaman moden, namun pengangun masih lagi dilihat dalam majlis-majlis perkahwinan Melayu, yang memperlihatkan keutuhan adat Melayu masih diamalkan di negara ini.
Seperti yang diketahui, pengangun hanya terdiri daripada golongan wanita yang berusia.
Mereka memainkan peranan penting dalam sesebuah majlis perkahwinan dan sentiasa dilihat mendampingi bakal pengantin dari mula acara sehingga selesai majlis perkahwinan dengan tujuan untuk mengelinga, melulut, memandikan dan menyampaikan ilmu tentang perkahwinan.
Pengangun besar kemungkinan datang daripada perkataan ‘anggun’ yang bermaksud cantik dan molek selain berperanan menaikkan seri pengantin dengan mandi, bertapus muka dan sebagainya kerana pada masa dahulu, belum ada jurusolek atau pada masa ini lebih dikenali sebagai juruhias (MUA).
Melihat kepada peranan pengangun yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini, penulis berpeluang menemu ramah dan menyelami cabaran salah seorang pengangun, Hajah Ajijah binti Haji Momin, 69, dalam mengalas amanah yang diberikan untuk melancarkan majlis perkahwinan.







Membuka cerita tentang pertama kali melibatkan diri sebagai pengangun, Hajah Ajijah, yang lebih mesra disapa Babu Hajah Ajijah, berkata beliau sudah menceburi bidang itu selama 18 tahun ketika beliau berusia 51 tahun. Pada masa itu beliau merupakan seorang MUA dan sentiasa bersama pengangun semasa acara majlis perkahwinan.
Menurut Babu Hajah Ajijah, melihat kepada perkembangan dalam bidang solekan, terlintas juga dalam fikiran apabila sudah banyak MUA baharu dan muda, sudah pasti khidmat beliau sebagai MUA ketika itu tidak akan diperlukan lagi. Dan pada saat itu, timbul keinginan untuk mendalami ilmu mengangun tambahan pula arwah nini juga merupakan seorang pengangun satu ketika dulu,” jelasnya.
Tiga sifat sebagai pengangun
Babu Hajah Ajijah berkata, “Untuk menjadi seorang pengangun, tiga perkara harus dimiliki iaitu jujur, amanah dan juga ikhlas.
“Kita perlu jujur memberi ilmu perkahwinan kepada bakal pengantin yang telah diamanahkan oleh kedua-dua ibu bapa pengantin dan menyampaikannya dengan perasaan ikhlas, selain mengamalkan sikap amanah dalam menyimpan rahsia pengantin dan keluarga pengantin,” tekannya.
Kenangan manis untuk ristaan keluarga
Sepanjang menggalas tugas pengangun, banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan terutama sekali kenangan semasa diberi amanah untuk menjadi pengangun bagi paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja.
Selain menjadi pengangun dalam negara, beliau juga pernah menjadi pengangun di negara jiran disebabkan keluarga pengantin berasal dari negara Brunei dan ingin adat perkahwinan anaknya diadakan mengikut adat Brunei.
Pemodenan dan perkembangan
Dalam zaman yang serba moden sekarang, khidmat pengangun masih digunakan walaupun tidak terhad kepada adat-adat kemelayuan.
Babu Hajah Ajijah turut mengongsikan pandangan beliau mengenai khidmat pengangun di mana ia bergantung kepada keluarga pengantin. Jika keluarga pengantin masih mempunyai orang yang berusia dan tahu akan peranan pengangun, sudah pasti khidmat pengangun akan digunakan.
“Kadang-kadang terasa seperti ada adat-adat yang sudah dikurangkan disebabkan agama selain kewangan dan juga kekangan masa, namun yang pasti warisan budaya berpengangun ini masih tidak dilupakan,” jelasnya.
Perbezaan mengangun dulu, kini
“Seperti yang saya lihat, menghias pengantin dahulu dan pengangun tidak banyak bezanya,” jelas Babu Hajah Ajijah.
Tatacara mengangun yang pernah dilakukan dahulu seperti menggunakan langir, limau, mandi bedian, pemigang dian memakai sesandang masih digunakan dalam majlis perkahwinan hari ini.
Menurutnya, dalam adat perkahwinan orang Melayu, pengantin setelah dihias akan ‘ditunukan penggarusan’ sebelum pengantin keluar dari bilik dan sebagai pengangun perlu menjelaskan tujuannya kepada keluarga pengantin.
Ini juga bergantung kepada keluarga pengantin sama ada mahu meneruskan adat tersebut atau sebaliknya.
Mungkin banyak juga yang beranggapan pengangun dan mak andam adalah sama tapi sebenarnya, pengangun bertanggungjawab dalam segala hal ehwal pengantin daripada menjaga, mengiringi dan memberi tunjuk ajar kepada bakal pengantin.
Ini berbeza dengan mak andam, yang mana peranan mereka hanya untuk menghias pengantin.
Peralatan menandakan warisan
Semasa temu bual itu, Babu Hajah Ajijah juga menunjukkan beberapa peralatan yang digunakan seperti ‘Kalalang’, biasanya digunakan sebagai tempat menyimpan ‘Aing-Aingan 4’ yang digunakan bagi mandi pengantin manakala sesandang atau kelengkapan perhiasan untuk pemegang dian itu sebenarnya adat dan biasanya digunakan semasa acara mandi pengantin selepas belulut.
Sementara bedak tujuh warna pula akan digunakan untuk acara malam berbedak pengantin sebelum acara malam berinai dan majlis bersanding.
Cabaran menjadi penguat semangat
Semasa temu bual, Babu Hajah Ajijah turut mengimbas kembali bagaimana beliau berusaha sedaya upaya untuk mencari pengganti pada saat-saat akhir disebabkan tidak sihat.
“Kalau sudah awal diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal pengantin sepan-jang acara perkahwinan berlangsung, maka menjadi tanggungjawab saya untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mencari pengganti pengangun,” jelasnya.
Tempoh 18 tahun itu bukan satu perkara yang mudah untuk kekal bertahan setelah melalui pelbagai kenangan pahit manis dan cabaran, namun beliau berkata cabaran tersebut diambil sebagai dorongan untuk terus mendalami lagi peranan pengangun ini.
Harapan
Babu Hajah Ajijah berharap agar khidmat pengangun diteruskan pada masa akan datang dan tidak luput ditelan zaman kerana ia merupakan warisan budaya Melayu di negara ini.
“Kita perlu mempertahankan warisan budaya yang cantik ini supaya ia tidak pupus dan generasi muda yang akan datang dapat mengetahui warisan yang kita miliki sekali gus dapat dijadikan ristaan untuk anak, cucu dan menjadi kenangan manis kepada pengantin,” jelasnya.

