Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenangan rigis udang

    Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

    Pada zaman dahulu, perahu rigis digunakan untuk merigis udang selepas waktu Maghrib untuk menjadi alat mata pencarian sehari-hari.

    Persediaan untuk menangkap udang pada masa itu ialah perahu, pengayuh, bantai dan kayu yang diperbuat daripada buluh tua yang panjang. Buluh tersebut diambil di dalam hutan yang berdekatan dan kemudiannya dijemur sebelum dibelah dua atau ditumbuk-tumbuk supaya menjadi lebar.

    Manakala, rigis pula sudah dipasang terlebih awal di bibir perahu. Selepas semuanya sudah disediakan, barulah orang-orang tua berkayuh di tebing-tebing sungai yang surut.

    Jika air surut, kayu jenis buluh tua akan dipacakkan berdekatan dengan tebing dan perahu rigis. Ketika air sudah surut, apabila terdengar bunyi kayu yang sudah dipacakkan tadi, udang akan berlompatan masuk ke dalam perahu.

    Di dalam perahu pula perlu meletakkan sawar daun nipah supaya udang-udang yang sudah berada di dalam perahu tidak dapat melompat keluar lagi.

    Menurut pantang orang-orang tua ketika itu, udang yang sudah berada di dalam perahu tidak boleh disentuh dengan tangan selagi belum sampai ke rumah.

    Sekarang tiada lagi cara merigis udang atau udang rigis yang tinggalkan oleh zaman orang-orang dahulu. Tambahan lagi, warna jala untuk menangkap udang juga sudah berubah, manakala cara tangkapan pula berubah menjadi memancing udang, tidak lagi merigis.

    Perahu rigis sekitar tahun 1950 untuk menangkap udang.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda