Oleh Nurdiyanah R. –
Rezeki menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah pastinya menjadi impian terindah setiap umat Islam di dunia ini. Bumi yang penuh berkah dan memiliki sejarah teristimewa dalam lembaran Islam itu sentiasa diziarahi umat Islam dari seluruh pelosok dunia untuk sama-sama memperoleh rahmat daripada Yang Maha Esa.
Satu anugerah terindah
Dijemput menjadi tetamu Allah melaksanakan ibadah haji merupakan satu anugerah terindah yang tiada ternilai bagi sesiapa yang benar-benar menjiwai dan menghayati erti ibadah di Tanah Suci itu.
Perasaan inilah yang turut diungkapkan oleh Hajah Nora binti Haji Abdul Latiff, salah seorang jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang menunaikan fardu haji bagi musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi ketika ditemui penulis setibanya di tanah air bersama 252 orang jemaah haji negara yang mengikuti penerbangan pertama yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada pukul 8:51 pagi, 5 Julai lalu.
“Dengan izin Allah SWT, kami dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sebaik-baiknya meskipun pelbagai cabaran yang dihadapi semasa mengerjakan ibadah haji terutama di tengah keadaan cuaca yang panas di Arafah dan Mina. Namun semuanya dihadapi dengan tabah selain sentiasa memanjatkan doa kepadaNya agar diberikan kekuatan mental dan fizikal sepanjang berada di sana,” kongsinya dengan nada sebak yang pertama kali mengerjakan ibadah haji bersama suaminya, Haji Anas bin Haji Labuk.
Dengan mengikuti pakej haji di bawah At-Taqwa Travel Tours, Hajah Nora, dari Daerah Belait turut menzahirkan syukur sepanjang perjalanan menunaikan ibadah haji berkenaan di mana beliau bersama suami serta para jemaah haji negara yang lain ditempatkan di kawasan yang selesa, termasuk makanan dan minuman yang disediakan dengan cukup.
“Terdapat jemaah dari negara lain yang lebih mengalami kesukaran dan cabaran berbanding para jemaah negara. Hakikatnya kita semua adalah sama sahaja selagi bergelar hamba Allah tanpa mengira keturunan, pangkat dan darjat. “Semua ini banyak mendidik diri kami untuk tetap merendah diri dan menjauhi sikap pembaziran serta menyemai rasa kesyukuran dengan segala nikmat yang diberikan selama ini, di samping terus berusaha meningkatkan amal ibadah dengan hati yang penuh keikhlasan,” ujarnya.
Bagaikan lembaran kehidupan baharu
Sementara itu, seorang lagi jemaah haji negara, Hajah Zuraina binti Mohd Noor juga tidak ketinggalan mengongsikan bahawa apa yang kita dengar daripada pengalaman yang diceritakan oleh jemaah-jemaah haji yang pernah berada di sana, tidak sama dengan merasakan sendiri pengalaman berada di tanah suci.
“Bagaikan lembaran baharu dalam kehidupan, itulah yang dapat saya ungkapkan dari hati ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci, lebih-lebih lagi dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meninggalkan urusan duniawi sepanjang berada di sana,” ujarnya.
Beliau yang juga pertama kali mengerjakan ibadah haji menambah, antara perkara yang tidak dapat dilupakan semasa berada di Tanah Suci adalah ketika menziarahi Raudhah dan makam Nabi Muhammad SAW. Walaupun saya telah pulang ke tanah air, namun saya masih terbayang suasana ketika berada di sana, sehinggakan semasa berangkat balik saya tidak dapat menahan air mata.
“Allah Maha Suci! Timbul perasaan bercampur-baur untuk kembali ke tanah air, setelah mengerjakan ibadah haji dan merasai ketenangan dan keseronokan beribadah. Hati ini sememangnya sedih meninggalkan bumi suci Mekah dan Madinah, namun pada masa yang sama berasa gembira setelah bertemu semula dengan ahli keluarga tersayang yang tidak pernah putus berdoa dan menanti kepulangan kami,” katanya.
Sentiasa segar dalam ingatan
Sementara itu, kesyukuran yang tiada terhingga kepada Allah SWT setelah terlaksananya ibadah haji buat julung kalinya turut diluahkan oleh sepasang suami isteri yang telah mengikuti pakej haji melalui Straits Central Agencies (SCA), Haji Mohd Dzulhimam bin Haji Johari dan Hajah Nurfatin Amalina binti Kahar di mana peluang menunaikan salah satu rukun Islam ini telah banyak mengajar mereka erti kehidupan sebenar dalam sama-sama meraih reda Ilahi.
“Semasa di sana, kami juga sentiasa dinasihatkan untuk memperbanyakkan doa dan melaksanakan ibadah-ibadah lain sebanyak yang boleh. Apa yang paling penting sentiasa mendidik jiwa raga untuk terus tenang, sabar dan berfikiran positif.
“Antara impian kami adalah untuk mengkhatamkan Al-Quran semasa berada di Tanah Suci, dan Alhamdulillah ia telah tercapai,” ujar mereka.
Pasangan yang menetap di Kampung Sungai Akar ini turut berkata hati dan jiwa mereka sentiasa ‘jatuh cinta’ dengan setiap detik perjalanan menyahut seruan Ilahi yang pastinya memberi kesan kepada diri dan para tetamu Allah lain tentang erti kehambaan dengan bergantung sepenuhnya kepada Yang Maha Esa demi menggapai keredaanNya di dunia dan akhirat.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki, umur dan kesihatan serta diberikan peluang lagi untuk menjadi tetamuNya suatu hari nanti bersama insan-insan tersayang. Apa yang pasti inilah satu kenangan yang akan diabadikan selamanya selagi hayat dikandung badan,” ucap mereka berdua dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.
Sehubungan itu, tahniah dan selamat kembali ke tanah air yang tercinta diucapkan kepada para jemaah haji Negara Brunei Darussalam dengan iringan doa, semoga ibadah haji yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT dengan dianugerahi haji yang mabrur serta sentiasa istiqamah dalam meningkatkan keimanan dan mengerjakan amal kebajikan.
Marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah SWT agar memperoleh rezeki teristimewa untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah sebelum kita kembali menemuiNya.