“Saya yang menarik diri dari mengarah filem itu kerana ada beberapa perkara yang tidak disenangi ketika dalam proses untuk penggambaran,” kata pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, ketika diminta mengulas kenapa dia tidak jadi mengarahkan filem seram, Jangan Pandang Belakang 2 terbitan Metrowealth.
Ahmad Idham berkata dia juga sudah menghantar surat secara rasmi kepada pihak Metrowealth, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kementerian terbabit berhubung tindakannya itu.
“Isu itu membabitkan soal dana dari Finas. Sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas, saya tidak mahu pihak Finas atau kementerian fikir saya menyalah guna dana atau nama saya digunakan pihak terbabit nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Ahmad Idham adalah pengarah filem Jalan Pandang Belakang pertama pada 2007 yang menampilkan lakonan Pierre Andre, Intan Ladyana, Khatijah Tan dan Ruminah Sidek. Ia mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM7.4 juta. Pierre Andre kini diberi tanggungjawab sebagai pengarah Jangan Pandang Belakang 2.
Ahmad Idham berkata dia tidak kecewa tidak dapat mengarahkan filem Jangan Pandang Belakang 2 kerana menganggapnya sebagai tiada rezeki.
“Jika nak diikutkan, saya yang pergi pitching dan dapatkan dana dari Finas untuk filem itu.
Namun, ketika dalam proses penggambaran ia tidak seperti yang saya mahukan sedangkan proposal dan idea asal adalah daripada saya.
“Saya tidak kisah tidak dapat mengarahkan filem itu tapi cuma pengikut filem seram itu tidak dapat nak tengok sentuhan saya pada sekuel kali ini,” katanya.
Sebagai pengarah, Ahmad Idham berkata, dia perlu melindungi nama dan karya yang dihasilkannya terutama untuk mengangkat filem yang sudah berjaya. – Agensi
