Perasan tidak, untuk kereta-kereta baharu, jangka hayat untuk bateri kini tidak setahan seperti kereta era 90an dahulu? Biasanya, bila habis sahaja waranti iaitu setahun, tidak lama selepas itu bateri berkenaan terus ‘kong’ dan tidak boleh lagi untuk dipakai.
Sebenarnya, perkara itu terjadi kerana parasitic load atau beban parasit yang berada dalam sistem elektronik kenderaan.
Beban parasit itu adalah sejumlah kuasa yang masih berjalan dalam sistem elektronik selepas suis enjin dan semua kelengkapan elektrik dan elektronik kenderaan dimatikan.
Tujuan kuasa tersebut ‘berlegar’ dalam sistem elektronik kerana ada beberapa komponen elektrik atau elektronik yang memerlukan kuasa siap sedia dan ada juga yang memerlukannya untuk memastikan memori dalam sistem tidak hilang.
Jadi apa kaitannya beban parasit ini dengan fenomena bateri kereta baharu yang cepat ‘kong’ ini? Kereta zaman dulu tiada beban parasit ke?
Menurut laman blog Paultan, era 70an dahulu, beban parasit hanya terdapat pada jam analog atau digital di dalam kereta.
Kemudian pada era 80an dan 90an, unit pemain audio mula berubah dari pemain kaset dengan pencari siaran analog, kepada pemain CD dengan pencari siaran digital – ini memerlukan satu lagi beban parasit di dalam sistem.
Kemudian pada era 90an juga, kebanyakan kereta mula dilengkapi dengan sistem penggera dan kunci kawalan jauh yang sememangnya sentiasa bersedia walaupun kereta sudah dimatikan.
Era ini turut menyaksikan sistem karburator secara berperingkat digantikan dengan sistem suntikan bahan api, di mana kotak komputer untuk sistem berkenaan turut mempunyai sejumlah beban parasit.
Semakin lama, sistem elektronik dalam kenderaan menjadi semakin kompleks. Untuk kenderaan-kenderaan terkini, kebanyakannya sudah mula menggunakan sistem multipleks – di mana jaringan antara semua kotak komputer di dalam kenderaan dihubungkan seakan sistem Local Area Network (LAN).
Menerusi sistem itu, kebanyakan kereta sekarang bukan sahaja diberikan kotak komputer untuk mengawal enjin dan kotak gear, bahkan segala sistem elektronik dan elektrik mempunyai modul kawalannya tersendiri.
Untuk kereta-kereta premium misalnya, ada yang mempunyai kotak komputer untuk setiap sebelah lampu hadapan!
Jadi awda boleh bayang berapa ganda parasitic load yang berada dalam sistem elektronik untuk kereta-kereta moden ini. Beban kerja bateri itu bertambah ketika ia tidak disokong dengan kuasa dari alternator yang hanya akan bekerja ketika enjin dihidupkan.
Dan apabila ia berlaku berulang kali dah tentu sel-sel yang menyimpan cas bateri tersebut akan lebih cepat rosak.
Oleh itu, jika awda masih menggunakan bateri gred biasa, ia biasanya hanya akan tahan sekitar setahun, berbanding tiga ke empat tahun.
Kalau awda berkemampuan, cuba dapatkan bateri dengan prestasi lebih tinggi yang menawarkan waranti selama dua tahun.
Memang mahal sikit, tapi agak berbaloi sebenarnya dan awda tak perlu tukar bateri setiap tahun. – Agensi