Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Pada setiap tahun apabila sahaja Hari Raya hampir menjelang, ramailah di antara kita sibuk dengan bermacam-macam persiapan terutama sekali menghias atau memperkemas rumah.
Ini bertujuan supaya rumah nampak baru dan lebih kemas ketika saudara mara berkunjung atau berziarah di Hari Raya nanti. Antaranya ada yang mahukan perabot rumahnya baharu, ada juga yang inginkan langsir rumahnya baharu dan ada juga yang mahukan cat rumahnya baharu.
Semua ini setentunya memerlukan perbelanjaan yang mahal.
Tidaklah salah jika ingin menghias atau memperkemas rumah ketika menyambut Hari Raya, kerana semua orang mahu suasana rumahnya ketika Hari Raya nanti nampak cantik atau lebih sempurna. Tetapi untuk mencapai keinginan itu janganlah sampai berhutang walaupun berhutang itu dibolehkan.
Perkara yang menjadi kebiasaan di Hari Raya juga ialah pakaian baharu. Tidak dinafikan memang kita dituntut menyambut Hari Raya dengan memakai pakaian yang cantik-cantik.

Namun untuk mengadakan pakaian yang cantik janganlah sampai berlebih-lebihan sehingga ‘over budget’ keluar dari batasan perbelanjaan kita. Perkara sebegini sering berlaku sehingga menjadi bebanan hutang yang wajib dibayar.
Antara yang sering membuatkan seseorang itu mudah berhutang ialah membeli dengan menggunakan kad kredit. Maka apabila menggunakan kad kredit bayaran tersebut adalah dikira sebagai hutang dan yang lebih dikhuatiri seseorang itu boleh terjebak dengan riba jika bayaran kad kredit tersebut tidak dijelaskan pada tarikh yang ditentukan kerana bukan sahaja ‘late charges’ iaitu denda disebabkan lambat membayar malah akan dikenakan juga bayaran tambahan mengikut kadar peratus nilai yang digunakan.
Oleh itu, walaupun kita dituntut memakai pakaian cantik namun tidaklah sampai tuntutan itu menyuruh kita untuk berhutang kerana hutang itu setentunya akan membebankan.
Promosi jualan segala jenis makanan juga bertaburan se-perti cendawan. Selain di kedai-kedai dan orang bersendirian yang berjual dengan bayaran tunai, ada juga yang berjual dengan bayaran ansuran. Bagi sebahagian orang yang kurang berkemampuan, mereka akan menganggap ini adalah peluang untuk membolehkan mereka menyambut Hari Raya dengan lebih meriah dan sempurna. Fahaman atau tanggapan sebeginilah yang membuatkan seseorang itu mudah terjebak untuk berhutang.
Perlu diingatkan bahawa berhutang itu, sesungguhnya tidak menyenangkan bahkan akan menyusahkan dan membebankan. Kesenangan yang diperoleh dengan berhutang akan dirasai hanya sebentar sahaja, namun beban dari berhutang itu akan ditanggung begitu lama sehingga hutang itu selesai dibayar.
Jadi persoalannya, mahukah kita selepas menyambut Hari Raya itu nanti menanggung beban membayar hutang? Persiapan Hari Raya nampak mewah seperti orang yang berkemampuan, tetapi sebaliknya dibeli antaranya dengan berhutang.
Jika kita lihat, promosi bayaran secara ansuran ini merupakan satu kemudahan untuk membeli suatu yang bernilai ataupun mahal, namun dari segi lain pula kaedah inilah yang membuatkan ramai orang terjebak untuk berhutang. Memang kaedah jual beli dan bayar secara ansur ini tidak salah, tapi perlu melihat kepada keperluan dan yang paling penting kemampuan untuk membayar semula di kemudian hari nanti. Jika yakin tidak mampu membayar balik di kemudian hari maka elakkan dari berhutang kerana jelas akan membebankan kita nanti.

