Awda baru sahaja membawa pulang kereta baru dari pusat jualan. Kereta awda diparkir di depan rumah bersinar-sinar sehingga menjadi buah mulut jiran tetangga. Hidung awda kembang kempis bila mendengar pujian kereta baharu awda. Bila waktu malam, kereta awda diselimuti agar tidak terkena hujan.
Tapi bila bangun pada waktu pagi, awda menjadi sakit hati sebab nampak ada kesan karat di bahagian cakera brek depan. Kereta dah berkilat, tapi brek nampak berkarat. Sebab tidak mahu masalah brek berkarat ini bertambah teruk, awda terus pandu ke pusat servis untuk membuat aduan.
Tapi ajaibnya bila tiba di pusat servis karat di cakera brek sudah hilang. Tapi tahukah awda menurut laman blog Mekanika, sebenarnya cakera brek dihasilkan daripada besi melalui beberapa proses. Biasanya besi terpakai akan dikitar semula dengan kaedah peleburan di dalam furnace sehingga menjadi cair.
Besi cair ini tadi akan dituang dalam acuan sand casting, disejukkan dan dimesin dalam mesin CNC bagi menghasilkan ukuran yang dikehendaki oleh pengeluar. Sifat semula jadi besi ialah ia akan berkarat apabila terdedah kepada dua elemen iaitu udara dan juga air.
Besi akan bertindak balas dengan udara dan air bagi menghasilkan lapisan karat yang berwarna perang. Tapi sebaik sahaja awda memandu kereta, lapisan karat itu akan tertanggal dengan sendiri apabila ia bergesel dengan pelapik brek sewaktu proses membrek.




Pergeseran antara cakera brek dan pelapik brek itu tadi akan memperlahankan dan akhirnya menghentikan kereta awda apabila pedal brek ditekan. Dalam proses ini, tenaga kinetik yang dimiliki oleh kereta akan ditukar kepada tenaga haba apabila brek berfungsi.
Jadi sistem brek awda akan menjadi panas apabila dipandu lama menuruni kawasan berbukit. Apabila haba terhasil, brek cakera yang dihasilkan daripada besi akan bertindak sebagai konduktor haba yang sangat bagus. Ia akan memindahkan haba dari sistem brek kepada udara persekitaran dengan pantas.
Rekaan cakera brek juga memainkan peranan dalam tujuan penyejukan. Jika awda perhatikan dengan teliti, awda akan dapati cakera brek sebenarnya berliang (ventilated disc) dengan tujuan memaksimumkan proses penyejukan. Sesetengah rekaan cakera brek dihasilkan dengan kaedah cross drill, lubang ditebuk secara menegak bagi tujuan penyejukan.
Haba perlu disingkirkan dengan cepat kerana haba boleh menyumbangkan pada peningkatan suhu yang menyebabkan brek hilang prestasi brek atau disebut sebagai brake fade. Nampak tak di sini, sistem brek bekerja dan terdedah kepada udara di sekeliling.
Tambahan pula cuaca yang sentiasa hujan, maka adalah normal untuk cakera brek berkarat. Dengan harga besi yang munasabah, adalah menjadi kebiasaan bagi pengeluar menghasilkan cakera brek daripada besi. Melainkan awda memandu kereta sport dengan brek yang dilapisi tungsten ataupun seramik karbon yang tidak akan berkarat.
Karat pada cakera brek adalah tidak berbahaya, melainkan awda membiarkan kereta selama beberapa tahun tidak dipandu sehingga cakera brek berkarat sepenuhnya, bukan lagi pada bahagian permukaan saja. Maka pilihan yang baik pada ketika itu ialah menukar cakera brek baru dan pelapik brek baharu.
Cakera brek juga akan mengalami kehausan dan menjadi nipis apabila kereta semakin berusia. Apabila ia semakin nipis, heat conduction tidak sebaik ketika ia mula digunakan.
Proses pengembangan cakera ketika panas dan pengecutan ketika sejuk tidak akan berlaku secara sekata. Cakera brek akan mudah bengkok (warp) dan solusi mudah ialah menukar cakera baharu.
PERLUKAH AWDA RISAU JIKA TERDAPAT KARAT PADA CAKERA BREK?
Menurut laman Autodeal, kewujudan sedikit karat adalah normal dan tidak menjejaskan prestasi brek awda, namun ia tetap perlu dibersihkan.
Tindakan menghidupkan enjin dan memandu kereta beberapa kilometer sudah cukup untuk menyingkirkan karat pada cakera brek awda.
Caranya, awda perlu memandu kereta selalu dan menggunakan brek bagi menyingkirkan karat pada permukaan cakera. Hal ini kerana karat di permukaan boleh menjadi lebih teruk dan ‘memakan’ besi cakera awda dengan lebih dalam jika dibiarkan.
Jika karat terlalu teruk, awda mungkin perlu membawa kereta ke bengkel untuk mengikis permukaan cakera brek awda supaya licin semula. Sekiranya cara ini juga tidak mampu mengatasi kerosakan sedia ada, menukar set cakera yang baharu adalah jawapannya.
Jangan sesekali mengecat atau meletakkan minyak pada cakera brek kerana ia akan menyebabkan prestasi brek akan terganggu, mungkin akan menyebabkan kemalangan.
Awda boleh menaik taraf kepada cakera brek yang menggunakan silika dan gentian karbon. – Agensi

