Thursday, January 16, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenapa enjin rasa lebih ‘berkuasa’ apabila dipandu pada waktu malam atau awal pagi?

    Awda perasan tak jika kita memandu pada awal pagi atau ketika waktu malam, enjin kereta awda akan terasa lebih berkuasa dan memberikan respons yang lebih baik? Adakah ini hanya perasaan, atau ia sememangnya terjadi?

    Jawapannya, ya memang pada waktu-waktu seperti itu, enjin kereta awda menghasilkan lebih banyak kuasa dari biasa. Tapi, apakah penjelasan teknikal berkenaan hal ini? Jom ikuti laman blog Paultan untuk mengetahui lebih lanjut.

    Sebelum menjelaskan kenapa perkara ini terjadi, ingat lagi teori bagaimana enjin berfungsi dalam artikel yang diterbitkan dalam Media Permata pada Julai 3, 2019 bertajuk Kenapa keluar wap atau air menitik dari tip ekzos? Kalau tidak ingat, mari saya ulang kembali teori berkenaan.

    Enjin berfungsi kerana berlakunya letupan pada kebuk pembakaran yang akan menyebabkan pergerakan turun-naik omboh (piston) untuk memusingkan aci engkol (crankshaft), kemudian kuasa putaran berkenaan dipindahkan ke kotak gear dan akhir sekali ke roda untuk menggerakkan kereta.

    Untuk mendapat letupan berkenaan, tiga unsur diperlukan iaitu udara, bahan api (dalam konteks kali ini, khusus kita perkatakan tentang petrol) dan juga percikan api dari palam pencucuh (spark plug). Petrol tidak boleh meletup sendiri jika tidak ada dua lagi unsur lain dan unsur utama yang diperlukan oleh petrol dari udara untuk meletup adalah oksigen lebih banyak oksigen, lebih kuat letupan yang dihasilkan.

    Gambar Envato
    Gambar Envato
    Gambar Freepik
    Kereta-kereta lumba drag biasanya menggantikan unit intercooler berkenaan dengan ais kering bagi mendapatkan udara yang jauh lebih sejuk. – Agensi

    Secara teori lagi, ketika suhu rendah kadar oksigen dalam udara adalah tinggi; inilah sebab mengapa enjin awda akan terasa lebih bertenaga ketika memandu pada malam, awal pagi dan ketika cuaca sejuk. Sebenarnya bukan hanya lebih ‘power’, kadar penggunaan bahan api juga adalah lebih cekap dan ekonomi jika awda memandu pada waktu-waktu sebegini.

    Dengan teori itu jugalah mengapa enjin-enjin yang dibekalkan dengan pengecas turbo diberikan unit intercooler. Dengan intercooler, udara yang disedut dari pengecas turbo dapat disejukkan terlebih dahulu bagi menambah kandungan oksigen dalam udara sebelum ia masuk ke kebuk pembakaran.

    Malah ada jentera lumba kereta-kereta perlumbaan drag biasanya menggantikan unit intercooler berkenaan dengan ais kering bagi mendapatkan udara yang jauh lebih sejuk.

    Bagi enjin-enjin tanpa pengecas turbo pula, banyak kit-kit cold air intake dihasilkan oleh pembuat-pembuat barangan aftermarket berprestasi tinggi dan dijual dalam pasaran.

    Kit berkenaan biasanya akan datang dengan penuras udara berprestasi tinggi bersama kotak angin khas berfungsi sebagai pelindung haba bagi mengelakkan udara panas dalam ruang enjin berada sekitar penuras udara tersebut. Ada juga kit tersebut yang datang sekali dengan saluran udara dengan ‘mulut’ yang diletakkan pada gril hadapan.

    Selain faktor kadar oksigen yang lebih tinggi ini, satu lagi faktor mengapa awda rasa enjin lebih berkuasa ketika sejuk adalah kerana sistem penghawa dingin.

    Ini kerana ketika dalam keadaan suhu lebih rendah, suhu kabin yang awda laras akan lebih cepat dicapai oleh sistem penghawa dingin dan ketika itu pemampat akan dimatikan dengan cara clutch magnetik diputuskan dari memutarkan pemampat berkenaan dengan lebih kerap.

    Dengan pulley yang berputar tanpa memusingkan sekali pemampat, enjin awda akan berfungsi tanpa beban seolah-olah sistem penghawa dingin berkenaan mati, sekali gus ‘melepaskan’ sedikit kuasa kuda yang sebelum itu digunakan untuk memutarkan pemampat penghawa dingin tersebut dan memberikan kuasa tambahan pada roda.

    Sekarang jelaslah sudah kenapa awda rasa enjin awda rasa lebih ‘sedap’ dipandu ketika waktu sejuk. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda