(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Satu
Kencing atau membuang air kecil adalah perkara semulajadi bagi setiap orang.
Kencing atau membuang air kecil ini dilakukan untuk mengeluarkan sisa-sisa metabolism tubuh (mengeluarkan kotoran tubuh). Dalam melakukan kencing atau membuang air kecil ini adalah dituntut melakukannya dengan betul dan sesuai menurut aturannya.
Menurut syarak, air kencing merupakan najis, sama ada air kencing kanak-kanak atau orang dewasa. Air kencing ialah air najis yang keluar daripada kemaluan manusia. Ia merupakan najis atau kotoran terbuang yang keluar daripada tubuh manusia.
Menurut ulama air kencing juga merupakan najis hakiki atau ‘aini yang menghalang daripada sah sembahyang. Ini bererti apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang kena najis, ia wajib dibasuh, kerana benda-benda itu menghalang sah sembahyang.
Dalam perkara kencing ini, ada orang membuang air kecil dengan cara berdiri dan ada juga dengan cara duduk. Antara keduanya itu, bagaimanakah cara yang tepat menurut syarak?

Dalam Islam, apa jua perkara ada aturannya, adab serta garis panduannya, termasuklah dalam perkara membuang air kecil. Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Salman r.a. bahawa beliau ditanya oleh seseorang yang maksudnya:
“Kamu telah diajarkan oleh Nabi kamu tiap-tiap sesuatu hingga perkara buang air. Salman menjawab: Benar! Baginda Rasulullah melarang kita menghadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. (Baginda juga melarang) beristinja’ dengan tangan kanan, (melarang) beristinja’ kurang dari tiga biji batu dan (melarang) beristinja’ dengan tahi binatang yang telah keras atau dengan tulang. (Hadis riwayat Abu Daud)
Cara qadha hajat
Dalam qadha hajat pun diajar bagaimana melakukannya, iaitu sunat qadha hajat dengan cara duduk sehingga berat anggota badan dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan. Kemudian merapatkan kedua-dua peha untuk memudahkan lagi qadha hajat. Cara begini akan memudahkan air kencing ataupun najis yang keluar melalui dubur.
Hukum membuang air kecil dalam keadaan berdiri
Para ulama menjelaskan bahawa adab membuang air kecil itu ialah tidak dilakukan dalam keadaan berdiri. Jika dilakukan dalam keadaan berdiri hukumnya adalah makruh.
Hukum makruh membuang air kecil dalam keadaan berdiri ini adalah berdasarkan sunnah Rasullullah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada ‘Aishah r.a. yang maksudnya:
“Sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Rasulullah membuang air kecil dalam keadaan berdiri, maka jangan kamu mempercayainya, Baginda tidaklah membuang air kecil melainkan dalam keadaan duduk.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Namun begitu, jika terdapat keuzuran atau sebab yang menghalang seseorang itu daripada membuang air kecil dalam keadaan duduk, maka tidaklah makruh baginya untuk membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala hukum membuang air kecil dalam keadaan berdiri tanpa ada keuzuran adalah makruh tanzih dan jika ada keuzuran tidaklah makruh.
Begitu juga Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala menyatakan sedemikian, kecuali disebabkan keuzuran seperti dalam menjalani rawatan atau ketiadaan tempat duduk yang sesuai untuk membuang air kecil.
Di dalam satu riwayat, disebutkan bahawa Baginda Rasulullah pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Huzaifah r.a. yang maksudnya:
“Rasulullah mendatangi suatu tempat pembuangan sampah suatu kaum, lalu Baginda membuang air kecil dalam keadaan berdiri.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Berkenaan hadis di atas para ulama menyatakan beberapa sebab mengenai perbuatan Rasulullah membuang air kecil dalam keadaan berdiri seperti berikut:
Menurut Imam asy-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala bahawa orang Arab yang menghidap sakit belakang (kebiasaannya) berubat dengan cara membuang air kecil dalam keadaan berdiri. Oleh itu, boleh jadi pada ketika itu Rasulullah mengalami sakit tulang belakang.
Boleh jadi pada ketika itu Rasulullah mengalami sakit lutut.
Boleh jadi pada ketika itu tidak ada tempat yang sesuai untuk Baginda duduk membuang air kecil.
Baginda berbuat begitu (membuang air kecil dalam keadaan berdiri) adalah bertujuan memberitahu atau menerangkan bahawa perkara itu adalah diharuskan. Namun begitu, dalam banyak keadaan Baginda membuang air kecil dalam keadaan duduk.
Walaupun hadis ‘Aishah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah tidak pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri, namun hadis itu tidaklah memansukhkan hadis Huzaifah r.a. yang menerangkan bahawa Nabi pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri. Ini adalah kerana ‘Aishah r.a. hanyalah berpandukan pengetahuannya sepanjang Nabi berada di rumah dan tidaklah ‘Aishah r.a. mengetahui apa yang berlaku sepanjang Nabi berada di luar rumah. Maka apa yang dinafikan oleh ‘Aishah r.a. sebenarnya tidak merangkumi tatacara Rasullullah membuang air kecil apabila berada di luar rumah.
Tambahan lagi Huzaifah r.a. adalah salah seorang daripada kalangan sahabat yang terkemuka.
Sementara itu, terdapat di kalangan para sahabat juga pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri seperti ‘Umar bin al-Khaththab, ‘Ali bin Abu Thalib dan Zaid bin Thabit r.a.. Ini menunjukkan keharusan membuang air kecil dalam keadaan berdiri selama mana selamat dari terkena najis air kencing.
Dengan demikian, jelaslah bahawa dalam Islam adalah dituntut membuang air kecil dalam keadaan duduk.
Walau bagaimanapun, tidaklah makruh jika tidak dapat membuang air kecil dalam keadaan duduk disebabkan perkara-perkara tertentu sepertimana yang disebutkan sebelum ini sehingga terpaksa membuang air kecil dalam keadaan berdiri.