(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Dua
Namun ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ketika membuang air kecil dalam keadaan berdiri, iaitu:
Berhati-hati daripada terkena percikan najis air kencing
Antara perkara yang penting dan perlu dibuat ialah sikap berhati-hati supaya tidak terkena percikan air kencing itu pada badan atau pakaian. Ini kerana kebanyakan seksa kubur juga berpunca daripada sikap yang tidak berhati-hati terhadap air kencing. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata, Rasullullah bersabda yang maksudnya:
“Banyak seksa kubur berpunca kerana (tidak berhati-hati) daripada air kencing.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Orang yang tidak berhati-hati atau tidak menjaga dirinya dari terkena percikan air kencing ketika membuang air kecil itu akan mendapat seksa di kubur. Mengenai perkara ini, Rasulullah pernah bersabda ketika Baginda Rasulullah mendengar suara dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a., beliau berkata yang maksudnya:
“Rasullullah pernah lalu di antara dua kubur lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya keduanya sedang dia-zab dan tidaklah keduanya itu diazab kerana dosa besar. Adapun salah seorang daripada keduanya (diazab) kerana dia berjalan ke sana ke mari mengadu domba sedang yang seorang lagi (diazab) kerana dia tidak mendinding (dirinya dari) air kencingnya.”

Ibnu ‘Abbas berkata lagi: “Lalu Baginda meminta sebatang pelepah tamar, maka dibelahkannya menjadi dua, kemudian Baginda meletakkan belahan pelepah tamar itu ke atas kubur keduanya. Kemudian Baginda bersabda: “Semoga diringankan kedua (penghuni kubur yang sedang diseksa ini) selama (pelepah) ini belum kering.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Dalam kitab Fath al-Bari diterangkan bahawa maksud “tidak mendinding dirinya dari air kencingnya” itu ialah tidak membuat sesuatu pendinding di antara dirinya dan air kencingnya atau dalam perkataan yang lain tidak memelihara dirinya dari terkena percikan air kencingnya.
Hukum percikan air kencing
Sepertimana disebutkan sebelum ini, adalah dianjurkan supaya berhati-hati daripada terkena percikan air kencing ketika membuang air kecil. Namun bagaimana pula halnya jika seseorang terkena percikan air kencingnya itu walaupun setelah berhati-hati dan mengambil tindakan yang wajar supaya terpelihara dirinya daripada percikan air kencingnya?
Sebilangan orang kadang-kadang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya selepas mereka membuang air kecil, adakah terkena percikan najis air kencing atau tidak, sehingga perkara itu menghalang mereka dari melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilang-kan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima.
Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.
Para ulama Mazhab Syafi’e mempunyai pendapat yang berbeza dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.
Pendapat yang shahih dan terpilih daripada pendapat-pendapat itu ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian.
Al-Muhamili Rahimahullah mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya al-Muqni’ dan Imam al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah berfirman yang tafsirnya:
“Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan dalam urusan agama.” (Surah al-Hajj:78)
Membuang air kecil dalam keadaan tertutup atau berdinding
Selain itu, secara umumnya di tandas-tandas awam pada masa sekarang disediakan banyak tempat-tempat membuang air kecil secara berdiri dan dalam keadaan terbuka tanpa bertutup atau berdinding. Ini juga tidak bertepatan dengan adab yang dituntut dalam Islam iaitu sunat membuang air kecil dalam keadaan yang tertutup.
Islam menganjurkan umatnya supaya membuang air kecil dalam keadaan tertutup atau berdinding daripada pandangan orang. Rasullullah ketika membuang air kecil meminta Huzaifah r.a. untuk melindunginya daripada pandangan orang awam sepertimana diriwayatkan bahawa Baginda memanggil Huzaifah r.a. sehingga dia berada dekat di belakang Baginda.
Begitu juga dalam riwayat yang lain, diceritakan bahawa Rasulullah pernah membuang air kecil dalam keadaan duduk sambil memegang perisai untuk menghalang daripada pandangan orang sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abdurrahman bin Hasanah r.a. yang maksudnya:
“Rasulullah pernah keluar bersama kami dan di tangannya terdapat sesuatu yang berbentuk perisai, lalu Baginda meletakkannya (sebagai penghalang antaranya dengan orang lain), kemudian Baginda duduk lalu membuang air kecil menghadapnya.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Ini bermakna, membuang air kecil itu dituntut dalam keadaan tertutup atau berdinding daripada pandangan orang.
Berdasarkan penjelasan di atas, cara kencing atau membuang air kecil yang betul ialah mengikut cara sunah Rasulullah. Ketika kencing biarlah mengikut adab yang telah digariskan oleh Islam kerana kebanyakan manusia mendapat azab kubur hanya akibat kencingnya tidak sempurna.
Oleh yang demikian, hukum asal bagi kencing dalam keadaan berdiri adalah makruh. Adapun jika wujud sebarang keperluan, maka ketika itu, kencing dalam keadaan berdiri tidak lagi menjadi makruh. Namun begitu kencing atau membuang air kecil dalam keadaan duduk itu adalah sunnah kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah.