Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenderaan asing perlu mohon, baharui pas EES

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengingatkan bahawa bermula esok (1 Januari), mana-mana kenderaan pendaftaran asing yang berada di negara ini dan belum mempunyai pas Exit Entry System (EES) atau pas EES yang telah mansuh adalah dikehendaki untuk mendapatkan dan memperbaharui kebenaran import sementara bagi kenderaan melalui EES.

    Makluman berkenaan adalah sebagai susulan kepada beberapa siaran akhbar yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengenai dengan pelaksanaan Caj Perkhidmatan (CaP) oleh JKED dan juga siaran akhbar Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi berkenaan pengeluaran Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara ke atas kenderaan-kenderaan luar negara yang telah mendapat kebenaran JKED untuk menetap di Negara Brunei Darussalam, dan kenderaan-kenderaan luar negara yang memasuki negara ini bagi tujuan pengangkutan barangan pertanian, agrimakanan dan perikanan dengan kebenaran dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan menegaskan bahawa mana-mana kenderaan pendaftaran asing yang berada di Negara Brunei Darussalam tanpa mendapatkan Pas EES adalah menjadi kesalahan di bawah Bab 154 Perintah Eksais 2006 dan jika sabit kesalahan, pemandu atau pemilik boleh dikenakan denda tidak melebihi $16,000 atau penjara tidak melebihi lapan bulan atau kedua-duanya, dan cukai penuh kenderaan akan dikenakan berdasarkan kepada penilaian kastam.

    Kenyataan menjelaskan, bagi mendapatkan dan memperbaharui Pas EES, pemohon iaitu pemandu kenderaan berkenaan hendaklah mendaftar melalui laman sesawang Exit and Entry System, https://login.bdnsw.gov.bn/ees.

    Pemohon seterusnya hendaklah membuat pilihan perjalanan iaitu bagi pilihan satu hala, CaP bagi setiap orang bagi setiap pos kawalan ialah $3 dan bagi pilihan ulang-alik, CaP bagi setiap orang bagi setiap pos kawalan ialah $6.

    Seterusnya pemohon perlulah mengisikan maklumat kenderaan serta maklumat peribadi pemohon dan seterusnya membuat pembayaran CaP dan tempoh kebenaran import sementara bagi kenderaan akan dikeluarkan selama tiga bulan.

    Manakala itu, bagi para pemohon yang sudah membuat pembayaran awal ulang-alik atau sekiranya pemohon belum berhasrat untuk membuat perjalanan keluar dari Negara Brunei Darussalam sebelum tamat tempoh Pas EES, adalah dikehendaki juga untuk mendapatkan dan memperbaharui kebenaran import sementara bagi kenderaan pendaftaran asing yang berada di negara ini.

    Tatacara berkenaan akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa mengikut situasi wabak COVID-19 di dalam negara serta di peringkat serantau dan global.

    Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JKED di talian 2382361 atau 8323741 pada waktu pejabat atau melalui e-mel info@customs.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda