NEW YORK/MOZAMBIQUE, 25 April – Kira-kira 1.5 juta penduduk di Comoros dan Mozambique terjejas oleh Saiklon Tropika Kenneth, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.
Saiklon Tropika Kenneth dijangka menuju ke hujung utara Comoros pada Rabu dan terus ke utara Mozambique dan selatan Tanzania sebelum mendarat di Daerah Palma, Mozambique pada Khamis, menurut ramalan.
Pada satu taklimat akhbar semalam, Stephane Dujarric yang merupakan jurucakap setiausaha agung PBB, berkata keseluruhan penduduk Comoros – hampir 759,000 orang – berada dalam zon angin kencang Saiklon Tropika Kenneth, dengan pulau Grand Comore menjadi kebimbangan utama, merujuk kepada Pejabat Satelit PBB.
Beliau berkata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan lebih 747,000 orang di Mozambique tinggal dalam laluan Saiklon Tropika Kenneth, menjelaskan ribut terbaharu mungkin mencetuskan banjir dan runtuhan tanah di kawasan utara Mozambique dan menggesa kerajaan menutup berpuluh sekolah yang mungkin berada pada haluan ribut.
Syarikat penerbangan nasional LAM telah menggantung penerbangan di antara ibu negara Maputo dan Pemba di pantai timur laut disebabkan siklon Kenneth, katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan Palang Merah mengingatkan ia “bimbang mengenai kemungkinan kesan di Mozambique di mana komuniti masih berpulih daripada pemusnahan Siklon Idai.”
Negara Afrika tenggara itu, bersama-sama Zimbabwe dan Malawi, sudah teruk dibadai oleh Saiklon Tropika Idai bulan lepas. – AFP/Bernama
