MAPUTO, 26 April – Satu siklon kuat telah menghentam utara Mozambique, menyebabkan seorang terkorban hari ini, kurang sebulan selepas satu ribut kencang melanda pusat negara itu, memusnahkan kawasan tersebut dan menyebabkan ratusan orang terkorban.
Siklon Kenneth kategori tiga, bergerak selaju 160 kilometer sejam, melanda pesisir Cabo Delgado lewat kelmarin selepas melalui pulau-pulau Comoros.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai banjir dan tanah susur ketika agensi kecemasan Mozambique, INGC melaporkan bahawa seorang telah terkorban disebabkan dihempap pokok kelapa yang tumbang di bandar pelabuhan Pemba, ibu negeri Cabo Delgado.
Di pulau pelancongan, Ibo, sebanyak 90 peratus tempat tinggal bagi penduduk seramai 6,000 orang telah musnah, menurut seorang jurucakap bagi agensi tersebut, Antonio Beleza.
“Saya tidak berharap hotel saya terhindar dari kerosakan,” kata pemilik hotel warga Swiss, Lucie Amr, yang mendapatkan perlindungan di kubu Ibo, bersama penduduk setempat lainnya.
Kelajuan angin berkurang kepada kira-kira 70 kilometer sejam pada Jumaat, menurut institut meteorologi setempat, tetapi hujan lebat diramalkan dalam tempoh 24 jam akan datang, meningkatkan kebimbangan mengenai banjir dan tanah susur di Cabo Delgado, yang bersempadan dengan Tanzania.
Program Makanan Dunia PBB (WFP) berkata lebih 600 milimeter turunan hujan dijangkakan. – AFP
