NAIROBI, 26 OGOS – Kenya telah mengeksport minyak mentah yang pertama hari ini dengan Presiden Uhuru Kenyatta mengumumkan penghantaran sekitar 200,000 tong menjadi ‘saat indah’ dalam sejarah negara.
Presiden mengibarkan bendera Kenya di kapal tangki minyak di pelabuhan Mombasa Laut Hindi yang akan membawa minyak itu ke Asia.
“Saat istimewa yang menandakan titik peralihan dalam takdir negara kita,” kata Kenyatta pada majlis itu,
“Pengeksportan pertama minyak mentah oleh negara kita, oleh itu, ia menandakan saat istimewa dalam sejarah bagi rakyat dan juga negara.”
Penghantaran sulung itu telah dibeli pada harga AS$12 juta oleh sebuah syarikat perdagangan China, ChemChina bagi pengeksportan ke Malaysia.
Kenyatta berkata percubaan pertama menemui minyak di Kenya dilakukan pada 1937 namun tidak berjaya sehingga 2012 apabila mendapan berdaya maju secara komersial telah dikesan.
Medan itu ditemui di Lembangan South Lokichar di Turkana, jauh ke utara Kenya, oleh firma Britain, Tullow dan rakan kongsi bersamanya. – AFP
