NAIROBI, 9 SEPT – Ujian DNA akan dimulakan di Kenya, hari ini, untuk membantu mengenal pasti kanak-kanak lelaki yang kehilangan nyawa mereka dalam kebakaran maut asrama sekolah minggu lepas.
Negara itu juga telah mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk 21 mangsa tragedi suram yang telah menimbulkan kebimbangan baru mengenai standard keselamatan di sekolah Kenya.
Kanak-kanak berkenaan maut selepas api menyambar asrama mereka di Akademi Endarasha Hillside di daerah Nyeri di tengah Kenya ketika mereka tidur lewat malam Khamis.
Sebanyak 19 mayat ditemui dalam runtuhan bangunan yang terbakar, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital, tetapi 17 masih tidak dapat dikesan, kata jurucakap kerajaan, Isaac Mwaura pada hari Sabtu.
Polis berkata mayat kanak-kanak berusia antara sembilan dan 13 tahun itu terbakar sehingga tidak dapat dikenali, dan keluarga berdepan penantian yang menyakitkan untuk mengetahui nasib orang tersayang mereka.

“Latihan forensik mengenal pasti mayat akan bermula hari Isnin kerana itu satu-satunya cara mereka boleh dikenal pasti,” kata Pesuruhjaya Daerah Nyeri Pius Murigu kepada AFP, kelmarin.
“Kami menggesa keluarga yang terjejas untuk hadir esok di hospital Naromoru untuk menjadi sebahagian daripada proses pengecaman forensik seterusnya bagi mayat tragedi ini,” katanya merujuk kepada kemudahan perubatan yang terletak kira-kira sejam memandu dari sekolah itu.
Ketua ahli patologi kerajaan, Johansen Oduor berkata bedah siasat akan bermula esok.
Presiden Kenya, William Ruto pada Jumaat mengisytiharkan tempoh berkabung untuk menghormati mangsa yang disifatkannya sebagai tragedi yang tidak dapat diduga.
Bendera akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan awam, pangkalan tentera dan kedutaan Kenya dari subuh hari ini hingga matahari terbenam pada hari Rabu. – AFP