OITA, 28 MEI- Seorang lelaki Jepun berusia 25 tahun yang menghabiskan sebahagian besar masanya melihat telefonnya akhirnya tidak dapat mengangkat kepalanya sendiri dan disahkan menghidap dropping head syndrome.
Laporan kes yang jarang berlaku telah terbit beberapa tahun yang lalu dalam jurnal perubatan JOS Case Reports memperincikan akibat menundukkan kepala selama berjam-jam.
Menurut laporan Oddity Central, pesakit berkenaan, seorang lelaki Jepun berusia 25 tahun yang menghabiskan sebahagian besar masanya bermain telefonnya, telah mengalami benjol yang besar di belakang lehernya dan tidak boleh lagi mengangkat kepalanya sendiri.

Sebelum mendapatkan bantuan perubatan, lelaki itu dilaporkan mengalami sakit tengkuk yang serius dan sukar menelan makanan menyebabkan berat badannya turut dengan mendadak.
Akhirnya, lehernya menjadi lemah kerana kedudukan kepala yang luar biasa menyebabkan dia tidak dapat mengangkat kepalanya lagi.
Doktor Jepun menyatakan bahawa pesakit itu pada mulanya adalah seorang kanak-kanak yang sangat aktif. Tetapi segala-galanya berubah semasa meningkat remaja apabila dia menjadi mangsa buli yang teruk di sekolah.
Dia kemudiannya berhenti sekolah dan menghabiskan sebahagian besar harinya berkurung di dalam bilik sendiri dengan bermain telefon.
Akibat dari tabiatnya menghabiskan masa berjam-jam dengan leher bengkok untuk melihat telefon telah menyebabkan wujudnya benjol besar di belakang leher.
Imbasan X-ray menunjukkan bahawa vertebra lehernya telah menjadi herot dan terkehel serta tisu parut telah terbentuk pada tulang belakang akibat tunduk untuk jangka masa yang lama.

Pada mulanya, doktor cuba merawat kepalanya yang jatuh dengan memasang kolar khas, tetapi selepas pesakit mengadu kebas pada lehernya, mereka memutuskan untuk mencuba cara lain.
Setelah beberapa siri prosedur pembedahan, para doktor mengeluarkan sebahagian kecil vertebra dan tisu parut yang herot sebelum memasukkan skru dan batang logam ke dalam tulang leher untuk membetulkan postur.

Nasib menyebelahinya setelah enam bulan menjalani pembedahan, pesakit telah dapat mengangkat kepala dengan mudah dan mengekalkannya dalam kedudukan yang betul.
Susulan setahun selepas pembedahan, dia berupaya mengangkat kepala seperti normal.
Para doktor menggunakan kes ekstrem ini sebagai amaran terhadap bahaya penggunaan telefon pintar secara berlebihan terutamanya di kalangan belia.
Sindrom ‘kepala jatuh’ adalah keadaan perubatan yang jarang berlaku yang biasanya dikaitkan dengan keadaan neuromuskular, tetapi itu juga boleh disebabkan oleh kecacatan tulang belakang yang disebabkan oleh menunduk dalam keadaan yang luar biasa untuk jangka masa yang lama. – Agensi