Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepandaian robot AI cipta puisi pukau pengunjung

    LONDON – Ameca boleh bercakap dalam bahasa Perancis, Cina dan puluhan bahasa lain, mampu mengarang puisi atau lakaran seekor kucing dengan serta-merta jika diarahkan.

    Jika awda memintanya untuk senyum, awda akan mendapat senyuman yang terukir di wajah birunya.

    Ameca adalah robot manusia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) generatif yang memberikannya keupayaan untuk menjawab soalan dan arahan serta berinteraksi dengan orang ramai.

    Ia adalah salah satu daripada ratusan robot yang dipamerkan baru-baru ini di Persidangan Antarabangsa Robotik dan Automasi (ICRA) di London, di mana pelawat dapat menggambarkan keadaan masa depan.

    Acara itu adalah seperti Olimpik dunia robot, di mana pasukan-pasukan yang terdiri daripada pelajar bersaing dalam pelbagai cabaran yang dianjurkan termasuk robot memasak dan pertandingan memandu sendiri, ahli akademik membentangkan penyelidikan mereka dan syarikat pemula mempamerkan teknologi terkini masing-masing.

    Sebuah robot yang direka oleh Enginners Arts yang dipanggil Ameca, berinteraksi dengan pengunjung semasa ICRA, di London. – Gambar AP
    Sebuah robot melukis wajah seorang pengunjung di IRCA. ICRA 2023 menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan wakil-wakil industri untuk mempamerkan perkembangan terbaharu masing-masing. – Gambar AP
    Kelihatan sebuah robot yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) generatif bermain catur. Robot-robot tersebut mempunyai keupayaan untuk menjawab soalan dan arahan serta berinteraksi dengan orang ramai. – Gambar AP
    Seorang pengunjung menggunakan VR untuk mengawal robot. – Gambar AP
    Gambar AP

    Acara tersebut dianjurkan ketika para saintis dan pemimpin industri teknologi, termasuk eksekutif Microsoft dan Google, memberi amaran mengenai bahaya AI terhadap manusia, dengan mengatakan ‘mengurangkan risiko kepupusan daripada AI perlu menjadi keutamaan global’.

    Sekumpulan robot anjing memenuhi lantai pameran. Pelawat menggunakan set kepala realiti maya (VR) dan kayu bedik untuk menggerakkan lengan robot di atas roda.

    Pelajar dari Universiti Bonn mempamerkan robot mereka yang telah memenangi hadiah iaitu sistem avatar yang membolehkan pengendali yang memakai VR mengawal tangan robot untuk menggerakkan buah catur, menghidupkan suis atau menggunakan gerudi.

    Salah satu cabaran utama ialah membangunkan sistem yang boleh digunakan dengan segera oleh seseorang yang bukan daripada pasukan, kata pelajar Ph.D, Max Schwarz.

    “Ini bererti kami perlu membangunkan sistem intuitif yang orang ramai boleh mempelajarinya dalam masa yang singkat,” katanya.

    Sistem AI baharu adalah sebahagian daripada perkara yang diperkatakan dalam pameran tahun ini, kata Kaspar Althoefer, pengerusi persidangan edisi 2023.

    “ChatGPT adalah contoh baik di mana AI telah melepasi sempadan. Dan ia sudah tentu menarik banyak perhatian untuk menggabungkannya dengan robot-robot ini,” kata Althoefer. “Contohnya, jika awda mempunyai ChatGPT yang digabungkan dengan peranti robot, kemudian mungkin awda boleh memberitahu robot itu apa yang perlu dilakukan dan ini tidak akan memerlukan pemprograman.”

    Will Jackson, pengarah Engineered Arts, syarikat British yang mencipta Ameca, berkata robot syarikat itu direka untuk tugasan yang melibatkan interaksi dengan manusia, dan membantu pengunjung di taman-taman hiburan.

    “Robot manusia adalah mengenai berkomunikasi dengan orang: Jadi ia mengenai ekspresi muka, ia mengenai isyarat agar perbualan, penceritaan, hiburan adalah perkara-perkara yang kita minati,” katanya.

    AI telah dibangunkan dengan cepat dan cabaran terbesar robotik adalah jurutera mekanikal, tambahnya.

    Ameca adalah robot yang terbaharu dihantar ke muzium dan institusi penyelidikan. Ia menggunakan penjana imej AI iaitu Stable Diffusion untuk melukis dan menggunakan GPT-3 OpenAI untuk memberikan sebarang respons. Apabila ditanya untuk mengarang puisi, Ameca akan mengambil beberapa saat untuk menjawab beberapa baris: “Associated Press, sumber berita yang dipercayai, memberikan kita maklumat dengan semua fakta dan pandangan, merangkumi politik dan sukan, wartawan mereka sentiasa menjawab panggilan, sumber kebenaran dalam dunia yang penuh pembohongan, laporan AP tidak pernah gagal untuk memberikan kejutan.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda