BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi melaporkan bahawa jumlah kompaun dan notis amaran yang dikeluarkan kepada para peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga, Penggal 142 telah menurun sepanjang tahun 2023.
Menurut JPES, jumlah kompaun dan notis amaran yang dikeluarkan pada tahun 2023 adalah 48 dan 104 masing-masing, berbanding 61 dan 181 pada tahun 2022. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 21 peratus dan 42 peratus bagi setiap kategori.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPES, penurunan itu mencerminkan peningkatan kepatuhan terhadap akta berkenaan dalam kalangan peniaga, di mana kadar kepatuhan secara keseluruhan telah meningkat kepada lebih 96 peratus, berbanding 91 peratus pada tahun sebelumnya.
“JPES mengambil tindakan penguatkuasaan yang positif melalui pemeriksaan harian ke atas premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah, pemeriksaan bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain dan pemberigaan secara berterusan bagi mempromosi kepatuhan terhadap akta ini,” kata JPES dalam satu kenyataan.
JPES juga menyenaraikan kesalahan yang kerap didapati dalam kalangan peniaga, antaranya adalah berkaitan dengan Perintah Paparan Tanda Harga, iaitu kegagalan mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual atau mempamerkan tanda harga yang tidak selaras dengan harga di kaunter pembayaran.
Selain itu, terdapat juga kesalahan menjual barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula anak damit melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh JPES.
JPES turut menasihatkan para peniaga untuk sentiasa mengamalkan perniagaan yang beretika ke arah meningkatkan keyakinan pengguna dan bagi mematuhi harga maksimum yang ditetapkan untuk barangan yang dikawal harga sepertimana yang disiarkan melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan laman sesawang JPES.
JPES juga merakamkan penghargaan kepada para peniaga yang memberikan kerjasama dalam mematuhi akta ini dan berharap agar para pengguna akan terus menyalurkan sebarang pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi aplikasi PenggunaBijak, Talian Darussalam 123 atau e-mel ke aduanpengguna@jpes.gov.bn, dengan menyertakan maklumat lengkap termasuk dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar.
Sebarang maklumat lanjut mengenai Akta Kawalan Harga, Penggal 142 boleh diperolehi melalui aplikasi PenggunaBijak dan laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn/cad.