TAMBUNAN, 1 Mei – Perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata keharmonian serta warna-warni seni budaya di negeri ini menjadikan Sabah unik dan istimewa, di samping memiliki kecantikan serta keindahan alam semula jadi yang berupaya menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Jika dahulu (kedatangan pelancong ke Sabah) satu atau dua juta orang sahaja, tetapi sekarang (kedatangan pelancong mencecah sehingga) 3.4 juta orang. Saya percaya (kedatangan pelancong akan meningkat) mungkin lima, enam atau 10 juta orang pada masa hadapan.
“Kita harus berbangga kerana mereka (pelancong) tahu Sabah adalah sebuah negeri yang unik dan indah. Walaupun kita terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama dan budaya, kita boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.
Musa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri 2017 bertemakan ‘Kaamatan Asas Perpaduan’ di sini hari ini.

??????? Majlis pelancaran yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin itu, turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, serta menteri Kabinet negeri dan Persekutuan.
Musa berkata pesta Kaamatan yang secara tradisinya disambut masyarakat Kadazan, Dusun, dan Murut bagi melahirkan kesyukuran terhadap hasil tuaian padi, berupaya menjadi platform dalam memperkukuh semangat muhibah seterusnya menjadikan Sabah sebagai model terbaik dalam penyatuan budaya.
Beliau berkata pesta itu juga adalah manifestasi keharmonian masyarakat di negara ini untuk hidup aman damai serta bersatu padu walaupun berbeza suku kaum, kepercayaan dan agama.
“Semoga perayaan pesta Kaamatan ini akan terus mengukuhkan lagi semangat perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran berterusan untuk seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Pada majlis itu, Mohamed Nazri turut menyampaikan replika cek berjumlah RM200,000 kepada Pairin sebagai peruntukan tambahan untuk Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) bagi menjayakan sambutan pesta Kaamatan pada tahun ini. – Bernama