Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 28 Feb – Dengan matlamat untuk mempelbagaikan pilihan pakej lawatan lebih menarik dalam Program Destinasi Tutong, Pakej Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong telah dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Pekan Tutong pada pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan pakej berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya. Semasa menyampaikan ucapan, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab antara lain menjelaskan bahawa kepelbagaian budaya dan warisan merupakan daya tarikan dalam industri pelancongan di Daerah Tutong.
Menurut beliau, ia merupakan suatu inisiatif yang perlu dipergiatkan kerana usaha sebegini bukan sahaja mampu memperkenalkan keindahan dan keunikan kesenian dan kebudayaan etnik-etnik di daerah ini kepada para pelancong, namun ia juga bertujuan bagi menghasilkan produk-produk pelancongan yang menarik bahkan yang paling penting mampu menyatupadukan masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum serta agama dalam satu landasan iaitu pelancongan. Tambahnya, perkara ini adalah penting sebagai asas kepada menghasilkan produk-produk pelancongan yang berasaskan komuniti yang berdaya tahan dan maju.
Di samping itu, beliau turut menyarankan pihak-pihak yang berkenaan seperti majlis perundingan kampung (MPK), para pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan belia-belia untuk turut mempamerkan atau menjual produk-produk mereka di tempat-tempat yang berpotensi sebagai tumpuan atau sebagai pusat aktiviti lawatan yang mana ia secara langsung mampu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyaksikan pameran dan demonstrasi kaligrafi masyarakat Cina dan juga pelbagai jenis makanan tradisi etnik Daerah Tutong seperti Pulut Panggang dari Puak Tutong; Kuih Kura-kura Merah dari masyarakat Cina; Pansu Ayam dari masyarakat Iban dan juga persembahan muzik tradisional yang dikenali sebagai Gendang Sedaman.
Pelancaran pakej tersebut adalah sebagai nilai tambah kepada pakej-pakej Destinasi Tutong yang telah mula diperkenalkan pada 2015 yang mana pakej terbaharu ini lebih berkonsepkan kesenian dan kebudayaan dalam kalangan etnik di Daerah Tutong.
Turut hadir pada majlis anjuran bersama Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong; dan disokong oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

