SYDNEY, 30 JAN – Satu kajian antarabangsa yang diketuai oleh Australia mendapati kepelbagaian genetik dalam tumbuhan dan haiwan di seluruh dunia mengalami penurunan sejak tiga dekad lalu.
Kajian yang diterbitkan oleh Universiti Sydney hari ini menganalisis kepelbagaian genetik 628 spesies haiwan, tumbuhan dan kulat di pelbagai habitat daratan serta sebahagian besar ekosistem marin dari tahun 1985 hingga 2019.
Hasil kajian menunjukkan bahawa dua pertiga daripada spesies yang dikaji mengalami kemerosotan kepelbagaian genetik, satu trend yang membimbangkan kerana kepelbagaian itu penting untuk membolehkan spesies menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran.
Menurut Catherine Grueber, ketua penyelidik dari Fakulti Sains Kehidupan dan Alam Sekitar, Universiti Sydney, terdapat tanda-tanda positif dengan usaha pemuliharaan membantu mengekalkan dan dalam beberapa kes meningkatkan kepelbagaian genetik.
Kajian itu juga mendapati bahawa usaha pemuliharaan yang dapat meningkatkan kepelbagaian genetik termasuk pengawalan spesies perosak, kawalan populasi dengan penyingkiran individu tertentu bagi meningkatkan kesejahteraan spesies lain, serta pengenalan individu baharu dalam populasi untuk tujuan pembiakan. – Xinhua