Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepelbagaian manfaat bunga mawar Damask

    Gambar AFP

    QSARNABA, LUBNAN – Di cerun landai menghadap ke Lembah Bekaa di Lubnan, penduduk kampung berjalan melintasi teres berwarna merah jambu, mengumpulkan bunga ros wangi Damask yang digunakan untuk minyak pati, gula-gula dan kosmetik.

    Penuaian mawar ‘memberi awda sedikit harapan, ia mengindahkan suasana, ia menenangkan awda – ia memberikan awda kekuatan untuk meneruskan kehidupan’, kata Leila al-Dirani sambil memetik bunga dari tanah keluarganya di kampung Qsarnaba.

    Beg lembut yang diikat di pinggangnya dan tangannya tercalar akibat duri, wanita berusia 64 tahun itu memetik tunas kecil berwarna merah jambu dari semak-semak ketika baunya yang harum menyelubungi seluruh kawasan bukit.

    Minyak yang berasal dari bunga mawar terkenal Damask – dinamakan sempena bandar purba Damsyik yang terletak betul-betul di seberang banjaran gunung yang memisahkan Lubnan dan Syria – merupakan bahan asas pembuat minyak wangi.

    Pakar yakin sekali dengan ciri-ciri terapeutik bunga itu dalam memerangi jangkitan dan sebagai penenang, manakala air mawar digunakan di seluruh Timur Tengah sebagai minuman yang menyegarkan, dalam gula-gula seperti gula-gula jeli Turkiye, untuk mengharumkan masjid malah memberikan tuah pada majlis perkahwinan.

    Seorang penduduk memetik mawar Damask yang digunakan untuk minyak pati, gula-gula dan kosmetik di kampung Qsarnaba.
    Kuntum bunga ros kering digunakan untuk membuat teh herba di sebuah rumah di Byblos.
    Zahraa Sayed Ahmed menghasilkan air daripada bunga mawar Damask di rumahnya di kampung Qsarnaba.
    Seorang pekerja memetik mawar Damask dari kampung Qsarnaba.

    Selepas memetik bunga ros sepanjang pagi, pekerja di Qsarnaba menghantar bungkusan bunga wangi mereka di sebuah gudang di kampung di mana mereka dibayar berdasarkan hasil tuaian mereka.

    Di kemudahan yang berkarpet dengan kelopak merah jambu, Zahraa Sayed Ahmed yang nama pertamanya bermaksud ‘bunga’ membeli bahan mentah untuk menghasilkan air mawar, sirap, teh dan jem.

    Kira-kira empat tahun lalu, dia mendirikan sebuah bengkel kecil di rumahnya, menggunakan logam tradisional ‘kepunyaan datuk saya’, kata Sayed Ahmed, 37.

    Dengan sekilogram kelopak mawar, dia berkata dia boleh menghasilkan sehingga setengah liter air mawar.

    Dia kemudiannya juga membotolkan dan melabelkan pengeluaran kecil-kecilannya dengan tangan, yang dijual secara terhad dalam negara.

    “Pengeluaran air mawar adalah sebahagian daripada warisan kami,” kata Sayed Ahmed. “Di setiap rumah di Qsarnaba terdapatnya besi tersebut, walaupun kecil.”

    Musim bunga mawar hanya bertahan beberapa minggu, tetapi ia adalah masa yang sibuk bagi penduduk Qsarnaba.

    “Tahun ini merupakan tahun pertama kami tidak membawa pekerja untuk membantu kami kerana pengeluaran adalah rendah dan kami tidak mampu,” kata Hassan al-Dirani, 25, yang telah memetik bunga itu bersama ibunya, Leila.

    Sejak akhir 2019, Lubnan telah bergelut dengan krisis ekonomi yang teruk yang telah menyaksikan mata wang tempatan jatuh dan mendorong sebahagian besar penduduk dalam kancah kemiskinan.

    “Hasil tuaian mawar dan semua tuaian lain telah kehilangan kira-kira 80 peratus daripada nilainya disebabkan krisis ekonomi,” kata pegawai tempatan Daher al-Dirani, yang berasal dari keluarga besar yang terbesar di Qsarnaba.

    “Tetapi bunga ros membantu penduduk menyara keluarga dan menghidangkan makanan di atas meja,” tambahnya.

    Dieksport dari Syria ke Eropah selama berabad-abad sejak zaman Perang Salib, mawar Damask purba juga ditanam di negara-negara termasuk Perancis, Maghribi, Iran dan Turkiye.

    “Kampung kami menghasilkan bunga mawar paling banyak daripada mana-mana kampung di Lubnan” dan lebih separuh daripada air mawar negara itu, dakwa Sayed Ahmed dengan bangganya, ketika bau yang memikat masih dihidu di udara.

    “Qsarnaba ialah sebuah perkampungan mawar.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda